Lelaki disyaki pencuri sawit cedera ditembak

Seorang lelaki cedera terkena tembakan peluru penabur dilepaskan individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah kebun sawit dekat Kampung Sumpit Beras, Selama pada Jumaat.(Gambar hiasan) Foto 123rf
Seorang lelaki cedera terkena tembakan peluru penabur dilepaskan individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah kebun sawit dekat Kampung Sumpit Beras, Selama pada Jumaat.(Gambar hiasan) Foto 123rf
A
A
A

BATU GAJAH - Seorang lelaki cedera terkena tembakan peluru penabur dilepaskan individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah kebun sawit dekat Kampung Sumpit Beras, Selama pada Jumaat.

Dalam kejadian sekitar jam 7.50 malam itu, mangsa berusia 32 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, semakan mendapati, mangsa dikatakan terlibat dalam kegiatan mencuri hasil sawit penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

"Lelaki itu telah mendapatkan rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Azizi (empat dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Taman Angkat Amanita Perak di Dewan Konvensyen Pusing, Batu Gajah pada Sabtu.
Azizi (empat dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Taman Angkat Amanita Perak di Dewan Konvensyen Pusing, Batu Gajah pada Sabtu.

"Kita juga mengesyaki mangsa mengambil bahan terlarang dadah kerana semasa dibawa ke hospital, dia berada dalam keadaan khayal.

"Polis akan mendapatkan keterangan dan menjalankan siasatan lanjut sebaik mangsa pulih dan kembali normal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Amanita) Perak di Dewan Konvensyen Pusing di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Ng Kong Soon; Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohamad dan Pengerusi Persatuan Keselamatan Komuniti Pusing, Wong Chee Min.

Artikel Berkaitan:

Azizi berkata, buat masa ini, polis sedang mengesan senjata digunakan dan individu terlibat yang melepaskan tembakan, sama ada dilakukan pemilik kebun atau kemungkinan pemburu hutan.

Katanya, kertas siasatan kes itu dibuka di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan dan menyebabkan kecederaan.

Azizi bersama Skuad Amanita ketika meninjau pameran disediakan sempena perasmian Taman Angkat Amanita Perak di Dewan Konvensyen Pusing, Batu Gajah pada Sabtu.
Azizi bersama Skuad Amanita ketika meninjau pameran disediakan sempena perasmian Taman Angkat Amanita Perak di Dewan Konvensyen Pusing, Batu Gajah pada Sabtu.

"Setakat ini kita belum terima laporan daripada pemilik kebun. Begitupun polis menasihati semua pihak agar tidak mengambil tindakan sendiri yang melampaui batasan undang-undang.

"Ada ketetapan membolehkan tangkapan dibuat oleh orang awam apabila berlakunya kesalahan jenayah dan kemudian diserahkan kepada polis.

"Tindakan melelaskan tembakan seperti ini, bukanlah satu tindakan yang betul dari segi undang-undang," katanya.

Sementara itu, tiga taman perumahan di daerah itu dipilih sebagai Taman Angkat Amanita Perak iaitu Taman Pusing Baru, Indian Settlement dan Dataran Bemban Jaya.

Azizi berkata, pemilihan kawasan tersebut berasaskan beberapa faktor antaranya komposisi penduduk yang mewakili tiga kaum terbesar negeri ini iaitu Melayu, Cina dan India.

"Walaupun kita lihat trend jenayah melibatkan wanita, suri rumah dan kanak-kanak di negeri ini tidaklah membimbangkan, namun program sebegini harus dilaksanakan sebagai peringatan bahawa kumpulan ini masih perlu berwaspada.

"Kita harap dengan kehadiran Skuad Amanita dapat membuatkan penduduk rasa selamat dan paling penting mereka mempunyai individu untuk dihubungi dan dirujuk sekiranya berdepan situasi jenayah termasuk isu penipuan dalam talian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!