PKR mahu teruskan gabungan bersama BN di Perak

Mohamad Hairul Amir (duduk, tiga dari kanan) menunjukkan kenyataan media bersama-sama kepimpinan baharu PKR Perak selepas sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Sabtu.
Mohamad Hairul Amir (duduk, tiga dari kanan) menunjukkan kenyataan media bersama-sama kepimpinan baharu PKR Perak selepas sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia meneruskan gabungan Kerajaan Perpaduan di Perak yang dibentuk bersama-sama Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PKR Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, hubungan baik yang terjalin ketika ini antara PKR yang merupakan komponen Pakatan Harapan (PH) bersama BN di negeri ini wajar dikekalkan.

Menurutnya, dengan barisan kepimpinan baharu PKR Perak, hubungan antara parti itu dengan BN dapat diperkukuhkan lagi selepas ini.

"Memang kita berharap dapat meneruskan gabungan ini untuk pilihan raya akan datang kerana kita boleh lihat keputusan-keputusan pilihan raya sebelum ini apabila kerjasama itu dapat diperkuatkan, dapat digarapkan mudah untuk kita menawan kerusi-kerusi pernah ditandingi sebelum ini.

"Mungkin kita boleh tambah lagi kerusi dengan gabungan ini, namun keputusan muktamad tetap akan diputuskan di peringkat Pusat," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pejabat PKR Perak di sini pada Sabtu.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Mohd Azlan Helmi; Naib-naib Pengerusi PKR negeri, Muhamad Arafat Varisai Mahamad, Tan Kar Hing, Zaim Sidqi Zulkifly dan Zuraida Zakaria.

Mohamad Hairul Amir berkata, hubungan kerjasama dengan BN di Perak akan diperkukuh sama ada di peringkat pimpinan mahupun akar umbi melalui pelbagai program atau aktiviti yang memberi manfaat serta nilai tambah kepada kedua-dua pihak.

Jelasnya, platform tersebut bukan hanya mengeratkan lagi semangat kebersamaan malah mengikis pemikiran skeptikal di antara kedua-dua pihak yang sebelum ini berbeza sudut pandang serta ideologi politik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pengukuhan hubungan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tersebut juga memudahkan tugas menyantuni rakyat merentasi golongan dan warna kulit.

Sementara itu, Mohamad Hairul Amir berkata, penstrukturan semula barisan kepimpinan PKR Perak dilaksanakan bagi memastikan gerak kerja parti di pelbagai peringkat berjalan lancar.

Menurutnya, tumpuan khusus akan diberikan bagi meningkatkan jumlah keahlian anggota baharu terutama golongan belia yang menjadi komponen penting dalam mengukuhkan keberadaan parti di Perak.

"Pendekatan ini juga akan difokuskan kepada setiap cabang dan ranting bagi memastikan sasaran berkenaan dapat dioptimumkan sekali gus memudahkan persiapan parti menuju PRU16.

"Usaha mengekalkan serta memperkukuh kerusi sedia ada yang disandang PKR di Perak juga akan diberikan penekanan selain menjadi penyelaras di kerusi-kerusi ditandingi parti sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Hairul Amir turut meletakkan sasaran pertambahan keahlian bagi parti itu di Perak seramai 100,000 orang menjelang hujung tahun ini.

Jelasnya, sehingga ini jumlah keahlian PKR Perak di 24 Cabang seramai 86,481 dan sasaran tersebut diyakini mampu dicapai.

Barisan kepimpinan baharu PKR Perak menyaksikan beberapa perubahan termasuklah jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi yang masing-masing disandang Mohamad Hairul Amir dan Mohd Azlan.

Selain itu, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang sebelum ini menjawat Pengarah Jabatan Pilihan Raya Perak dilantik sebagai Naib Pengerusi manakala tempatnya diambil alih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Wong Chai Yi.

Muzaffar Shah Khairuddin pula dilantik sebagai Setiausaha PKR Perak yang baharu menggantikan Mohd Azlan manakala tempatnya sebelum ini sebagai bendahari diambil alih ADUN Teja, Sandrea Ng Shy Ching.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!