Luka akibat api, air panas antara paling banyak dirawat di hospital Kelantan

Dr Zaini (duduk, tengah) bersama tetamu dan peserta Seminar 'Burn Talk, Back to Basic: Rivitalizing Core Competencies in Burn Management'.
Dr Zaini (duduk, tengah) bersama tetamu dan peserta Seminar 'Burn Talk, Back to Basic: Rivitalizing Core Competencies in Burn Management'.
A
A
A

KOTA BHARU - Kecederaan akibat api, air panas, asid dan renjatan elektrik antara yang disenaraikan paling banyak dirawat di hospital di negeri ini membabitkan kategori luka terbakar.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, purata pesakit yang dirawat akibat kecederaan teruk ialah antara 40 hingga 60 kes setiap tahun.

Beliau memberitahu, kecederaan paling banyak disebabkan pembakaran sampah menggunakan petrol yang boleh mengakibatkan luka teruk di bahagian badan.

"Kebanyakan pesakit yang mengalami luka terbakar dirawat antara tiga hingga empat bulan sebelum mereka dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Burn Talk, Back to Basic: Rivitalizing Core Competencies in Burn Management di sini pada Sabtu.

Dr Zaini memberitahu, rawatan menyeluruh bagi pengurusan luka bakar hanya boleh didapati di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

"Kita mempunyai tiga katil di Unit Rawatan Kebakaran (URK) USM dan empat di HRPZ II namun pada masa sama berusaha memperluaskan perkhidmatan dengan mengagihkan pesakit ke hospital daerah," katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga berusaha memperkasakan hospital dan klinik daerah untuk menguruskan kes luka bakar dengan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seminar berkenaan melibatkan 10 pakar perunding dalam bidang pembedahan plastik dan rekonstruktif.

Seminar berkenaan dihadiri seramai 188 peserta dari pelbagai institusi kesihatan, pusat perubatan dan hospital di seluruh negara.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!