500 anggota polis kawal keselamatan aksi Perak-JDT malam ini

Azizi bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Azizi bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

POLIS membuat persiapan rapi dengan menempatkan 500 pegawai dan anggota bagi mengawal keselamatan pada perlawanan ulangan Liga Super antara Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak malam ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, penempatan anggota tidak hanya di dalam dan luar stadium, tetapi melibatkan kawasan sekitar termasuk pekan Ipoh bagi membantu penugasan sekiranya berlaku konflik dan provokasi di luar padang.

"Sepertimana perlawanan-perlawanan dengan pasukan lain, polis telahpun membuat persiapan menangani sebarang kejadian tidak terduga.

"Kita bukan hanya melihat dari segi kemungkinan sahaja, tetapi ini berasaskan kepada risikan pasukan polis yang terlibat menangani situasi-situasi di luar kawalan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Taman Angkat Skuad Aman Wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) (Amanita) Perak di Dewan Konvensyen Pusing di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Ng Kong Soon; Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohamad dan Pengerusi Persatuan Keselamatan Komuniti Pusing, Wong Chee Min.

Azizi turut menasihati penyokong kedua-dua pasukan menjaga tingkah laku dan menunjukkan rasa hormat sepanjang perlawanan berlangsung.

"Perlawanan bola tidak harus dicemarkan dengan insiden-insiden yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab oleh sesetengah kumpulan yang saya sifatkan belum cukup matang," katanya.

Kedua-dua pasukan sebelum ini bertemu pada 17 Ogos lalu di Stadium Perak dengan hanya sempat bermain tidak sampai empat minit sebelum perlawanan ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

Keputusan itu dibuat pengadil perlawanan atas faktor hujan lebat dan padang yang digenangi air, memaksa perlawanan ditukar ke 5 Oktober.

Tindakan itu bagaimanapun telah mencetuskan rasa tidak puas hati kalangan penyokong dengan membuat kekecohan dan provokasi yang mengancam ketenteraman awam.

Susulan itu, polis menahan lapan individu berusia antara 16 hingga 32 tahun atas kesalahan menghalang tugas pegawai polis dengan membaling botol ke arah anggota yang sedang bertugas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!