Jumlah sukarelawan ditingkatkan menjelang Monsun Timur Laut
JERANTUT - Kerajaan Pahang akan memastikan penglibatan sukarelawan di Pahang terus dipertingkatkan sebagai persediaan khususnya menjelang Monsun Timur Laut (MTL).
Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, sehingga kini secara purata kira-kira 1,000 sukarelawan berdaftar bagi setiap daerah telah direkodkan di negeri itu.
Menurutnya, jumlah tersebut akan dapat terus bertambah susulan penganjuran Moh Karnival Makmur Daerah Jerantut 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat yang memilih tema sukarelawan.
“Dari segi kesukarelawanan ini memang semakin meningkat dan saya mengharapkan rakyat di Pahang menyertai sukarelawan ini.
"Jadi untuk bulan ini, semalam, hari ini dan esok silalah datang beramai-ramai untuk ke Moh Karnival Makmur Jerantut ini untuk kita mendaftar sebagai sukarelawan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Beliau ditemui selepas perasmian karnival tersebut di padang hoki Jerantut yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, Harris Salleh Hamzah; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang Mua’zzamir Jili dan Pegawai Daerah Jerantut, Datuk Sharuddin Jali.
Ujar Sabariah, kerjasama dan penglibatan masyarakat amat dialu-alukan untuk membantu apabila berdepan sebarang bencana.
"Contohnya sekarang ini kita akan menghadapi Monsun Timur Laut pada bulan depan dan kebiasaannya di Jerantut ini juga terlibat, ada banjir.
"Jadi saya menyeru kepada semua warga Jerantut khasnya tidak kiralah daripada mana-mana bagi menyertai program kesukaralawanan ini yang kebanyakannya di bawah APM, JKM bagi membantu masyarakat setempat,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Harris menyifatkan penganjuran karnival terbabit yang bertemakan kesukarelawanan tepat pada lokasi dan masa.
"Bersesuaian dengan lokasi daerah Jerantut yang sering dilanda bencana atau musibah seperti banjir, tanah runtuh mahu pun kebakaran yang sukar dicapai oleh agensi penyelamat memerlukan ramai sukarelawan berpengetahuan terhadap bantuan awal kecemasan.
“Sebab pentingnya ada sukarelawan ini, contohnya kita ada bomba sukarela penting apabila kita tidak dapat capaian ketika berlaku kebakaran di bahagian hulu contohnya, jadi penting sukarelawan ini untuk memberi bantuan awal," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!