Peruntukan tebatan banjir Sungai Damansara diluluskan, kurangkan risiko banjir

Ramanan menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan Parlimen Sungai Buloh di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Meranti hari ini. Foto Bernama
Ramanan menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Insentif Pendidikan Parlimen Sungai Buloh di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Meranti hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BULOH - Peruntukan berjumlah RM481 juta bagi Projek Tebatan Banjir Sungai Damansara telah diluluskan sebagai usaha mengurangkan risiko banjir di kawasan Parlimen Sungai Buloh.

Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan berkata, projek berkenaan kini berada di peringkat permulaan, dengan tender sudah ditutup dan surat tawaran telah diberikan kepada pihak kontraktor.

"Walaupun projek belum bermula, aktiviti di Sungai Subang telah dimulakan dengan peruntukan RM16 juta.

"Tidak pernah ada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang meluluskan projek sebesar ini untuk Sungai Buloh. Saya sangat berterima kasih kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan bagi Parlimen Sungai Buloh di sini hari ini.

Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, selain itu, terdapat satu lagi usaha mengurangkan risiko banjir, iaitu Projek Tebatan Banjir Sungai Buloh bagi Fasa Dua dengan anggaran kos hampir RM780 juta, yang masih di peringkat cadangan.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sedang berusaha mengurangkan risiko banjir di seluruh negara, termasuk di Parlimen Sungai Buloh, melalui pelbagai langkah yang dilaksanakan secara berperingkat.

Mengulas mengenai situasi banjir kilat di beberapa kawasan dalam Parlimen Sungai Buloh, Ramanan berkata situasi terkini adalah dalam keadaan terkawal, selain Pasukan Khidmat Parlimen berkenaan menerusi unit Pasukan Tindakan Pertama (FRT) telah bertindak produktif membantu mangsa terlibat.

"Saya sangat berterima kasih kepada unit FRT kerana mengutamakan bantuan kepada mangsa, khususnya golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, dan keluarga dengan anak ramai, walaupun rumah mereka sendiri terkesan akibat banjir," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ramanan berkata, beliau dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya Rusli Jaafar juga akan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi terjejas hari ini, bagi meringankan beban mereka.

Sebelum ini, beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh dilaporkan mengalami banjir kilat ekoran hujan lebat pada Khamis lepas, antaranya Paya Jaras, Kampung Melayu Subang dan Merbau Sempak.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Ramanan berkata, Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menyediakan peruntukan bantuan pendidikan kepada sekolah dan pelajar di sekitar Paya Jaras bagi membantu meningkatkan mutu pendidikan sepanjang sesi persekolahan serta semester pengajian Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Sebanyak tujuh sekolah menengah kebangsaan (SMK) menerima tajaan Tuisyen Rakyat berjumlah RM70,000 manakala lapan sekolah kebangsaan (SK) menerima bantuan sekolah berjumlah RM40,000 selain bantuan persekolahan berjumlah RM50,000 kepada 500 pelajar.

Turut disampaikan ialah bantuan awal pengajian kepada 51 pelajar IPT melalui Program Penyerahan Insentif Pendidikan YBR dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!