Jakim perjelas video tular, MOF selesai salur RM120 juta Oktober ini

MOF telah menyalurkan peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM120 juta kepada Jakim pada bulan ini. Gambar kecil: Sirajuddin
MOF telah menyalurkan peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM120 juta kepada Jakim pada bulan ini. Gambar kecil: Sirajuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) telah menyalurkan peruntukan Belanjawan 2024 sebanyak RM120 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bulan ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia berikutan satu video berdurasi 1.59 minit tersebar di media sosial mendakwa sekolah-sekolah agama di negara ini belum menerima imbuhan tersebut.

Menurutnya, sebanyak 3,601 sekolah agama rakyat (SRA) dan tahfiz berada dalam Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) sehingga bulan lalu.

“Peruntukan kepada 874 sekolah itu adalah bantuan pengoperasian SRA yang diperuntukan kerajaan sebanyak RM5.36 juta.

“Setiap sekolah itu juga mendapat peruntukan dengan kadar RM1,901.25 hingga RM15,421.05 bergantung kepada jumlah keseluruhan pelajar yang ada di SRA yang memohon,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi memberikan penjelasan terhadap perkara dala video itu berkaitan fungsi dan peranan Jakim.

Sebelum ini, Parti Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa) meluahkan rasa kesal apabila peruntukan Belanjawan 2024 untuk sekolah agama di negara ini masih belum diagihkan sepenuhnya iaitu RM150 juta.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, setakat ini hanya RM50 juta diberikan kerajaan kepada 874 sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Tambah Sirajuddin, bilangan Institusi Pendidikan Islam (IPI) yang memohon inisiatif pengoperasi SRA berkenaan bukan bantuan selenggara dan naik taraf untuk organisasi tersebut.

Beliau turut memaklumkan Perlis telah menerima peruntukan sebanyak RM863,000 untuk 11 IPI dan Kedah pula berjumlah RM4,671,600 melibatkan 55 institusi.

“Kelantan terima peruntukan RM1,050,000 melibatkan sebanyak 14 IPI dan Terengganu bernilai RM1,701,400 dengan 22 organisasi,” ujarnya.

Sirajuddin berkata, institusi berkenaan wajib memohon dan mengikuti syarat-syarat yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf Institusi Pendidikan Islam Jakim 2024.

“Semoga dengan penjelasan ini dapat memberi pencerahan terhadap isu yang telah dibangkitkan oleh pihak berkenaan,” jawabnya ringkas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!