Musa maut dipijak gajah - Polis

Mayat mangsa ditemukan kawasan cerun bawah talian kabel TNB kira-kira 100 meter dari kebun mangsa dekat Kampung Basung, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Gambar kecil: Musa
Mayat mangsa ditemukan kawasan cerun bawah talian kabel TNB kira-kira 100 meter dari kebun mangsa dekat Kampung Basung, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Gambar kecil: Musa
A
A
A

HULU TERENGGANU - Polis mengesahkan warga emas yang hilang dan mayatnya ditemukan pagi Sabtu, meninggal dunia akibat dipijak gajah liar.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, proses bedah siasat ke atas Musa Ahmad, 65, yang juga seorang pekebun selesai dijalankan jam 3.40 petang tadi.

"Mayat mangsa ditemukan jam 7.15 pagi tadi di kawasan cerun bawah talian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) kira-kira 100 meter dari kebun mangsa dan telah dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mengesan terdapat kecederaan pada bahagian dada, kepala dan tangan akibat tekanan objek berat dipercayai akibat dipijak oleh gajah liar," katanya di sini pada Sabtu.

Mayat Musa dijumpai pada jarak 100 meter dari kawasan kebunnya dekat Kampung Basung, Kuala Berang di Hulu Terengganu.
Mayat Musa dijumpai pada jarak 100 meter dari kawasan kebunnya dekat Kampung Basung, Kuala Berang di Hulu Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mangsa jam 9.32 malam pada Jumaat.

"Polis telah membuka siasatan kes orang hilang selepas menerima laporan daripada keluarga mangsa mengatakan mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kebun di Kampung Basung, Kuala Berang, di sini pada pagi Jumaat.

"Sebelum itu, keluarga mangsa dan penduduk kampung telah berusaha mencari dan mengesan mangsa di kebun namun gagal ditemui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Zainul Mujahidin, kes tersebut diklasifikasikan di bawah mati mengejut (SDR).

Katanya, orang ramai diminta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya menyedari kehadiran haiwan liar.

"Orang ramai diminta supaya memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) atau pihak polis dengan segera sekiranya menyedari kehadiran binatang liar di kawasan penempatan dan kebun untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!