'Sudah lama kami rasa tak selesa'

Antara warga asing yang ditahan dalam operasi sekitar kawasan pusat perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu.
Antara warga asing yang ditahan dalam operasi sekitar kawasan pusat perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - "Sebelum ini kami rasa tak selesa dengan lambakan warga asing di sini, harap selepas operasi besar-besaran ini, keadaan itu berubah."

Itu luahan penduduk sekitar kawasan pusat perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini susulan operasi yang dijalankan pihak berkuasa pada Sabtu.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Amir berkata, kawasan pusat perniagaan itu dipenuhi dengan warga asing berikutan beberapa bahagian tingkat atas rumah kedai dijadikan penempatan mereka.

"Boleh lihat sendiri sebelum ini pada hari Sabtu dan Ahad atau cuti umum, memang penuh dengan mereka (warga asing) sahaja.

"Warga asing ini tak ganggu penduduk, cuma sikap segelintir mereka yang tidak mementingkan kebersihan dan gemar membuang sampah merata-rata, itu yang buatkan kami tak selesa," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Penduduk yang mahu dikenali sebagai Jamil berkata, operasi melibatkan warga asing itu sememangnya sentiasa dinantikan penduduk tempatan di kawasan tersebut.

"Memang ada rondaan pihak berkuasa di kawasan ini, tapi kalau boleh kami mahukan satu tindakan yang drastik, macam operasi seperti ini, bagi saya perlu dibuat secara kerap.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Imigresen Selangor serta pelbagai agensi terlibat yang jalankan operasi ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jamil berkata, sering datang untuk membeli barang keperluan harian di pasar Taman Sri Muda.

"Kalau sebut sahaja Taman Sri Muda memang ramai yang tahu penuh dengan warga asing, kami sebagai orang tempatan pula rasakan seolah macam orang luar.

"Ada segelintir warga asing yang berniaga barangan basah di sekitar kawasan pasar, tak tahu sama ada (perniagaan) itu milik mereka atau mereka bekerja, tapi jelas memang suasana itu buatkan saya tidak selesa," katanya.

Pada Sabtu, Jabatan Imigresen Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi lain menyerbu kawasan Pusat Perniagaan Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini dan menjalankan pemeriksaan terhadap 1,091 warga asing.

Seramai 602 pendatang asing tanpa izin ditahan melibatkan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tinggal lebih masa, tidak mematuhi syarat sah permit dan pelbagai kesalahan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!