'Bersatu perlu ada naratif jelas, tidak boleh bergantung undi protes'

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu mempunyai naratif dan tawaran yang jelas untuk rakyat bagi menggerakkan parti ke hadapan serta tidak boleh terus bergantung kepada undi protes kerana era itu sudah tamat.

Ketua Bahagian Bersatu Bangi, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, parti tersebut mempunyai potensi yang tinggi untuk terus mara dan mengambil alih amanah pemerintahan, bukan saja di Putrajaya tetapi juga di beberapa negeri.

"Pastinya masih banyak kerja perlu dilakukan untuk memperkukuhkan parti dalam berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Poster yang dimuat naik Wan Saiful di Facebook pada Sabtu.
Poster yang dimuat naik Wan Saiful di Facebook pada Sabtu.

"Malahan, selepas ini tumpuan kita seharusnya bukan saja kepada pemerkasaan jentera pilihan raya, tetapi juga kepada gerak kerja perkaderan, penerangan dan pengurusan parti.

"Kita mesti memposisikan Bersatu sebagai parti yang mempunyai solusi diyakini rakyat, berwawasan dan berprinsip," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.

Tambah Wan Saiful, pelancaran dokumen ideologi Bersatu baru-baru ini yang berteraskan lima prinsip Idealisme Perjuangan iaitu Inklusif, Sederhana, Demokratik, Integriti dan Prihatin akan menjadikan parti itu sebagai wadah politik kanan pertengahan untuk rakyat Malaysia.

Ujarnya, dokumen berkenaan perlu dicerakin dan dihadamkan segenap peringkat parti dan memerlukan pasukan yang mantap untuk melaksanakan usaha tersusun di bawah kepimpinan dan bimbingan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon ahli Bersatu memberi ruang untuk saya juga meneruskan sumbangan dalam memperkasa parti. Saya yakin ahli Bersatu akan memilih dengan bijak supaya saf kepimpinan boleh dilihat sebagai saf yang meyakinkan rakyat bahawa kita mampu memimpin negara.

"Melalui pemilihan ini, mari kita tunjukkan bahawa parti kita memilih dengan kematangan dan semangat kekeluargaan. Bersatu untuk Malaysia," katanya.

Sementara itu, beliau memanjatkan rasa kesyukuran kerana diberi peluang menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian Bersatu Bangi.

Pada masa sama, Wan Saiful turut mengucapkan tahniah kepada seluruh saf ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Bangi yang baharu kerana hasil daripada mesyuarat membawa kepada kesepakatan menyusun atur struktur organisasi tanpa pertandingan.

"Ini bukti ukhuwah dan iltizam ahli Bersatu Bangi untuk bekerja dalam satu keluarga demi perjuangan kita. Setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kekal sebagai Presiden dan Datuk Sri Hamzah Zainuddin kerana bakal menggalas amanah sebagai Timbalan Presiden baharu.

"Terima kasih juga kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Seri Rina Harun yang menunjukkan jiwa besar mereka sebagai pemimpin untuk dicontohi. Insya-ALLAH saya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bagi penggal akan datang.

"Benar, saya akui beberapa laporan media bahawa sebelum ini saya ada mengintai kerusi Naib Presiden tetapi sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung dalam memberi mandat kepada Muhyiddin untuk menyusun atur saf pelapis, saya mendukung penuh cadangan beliau dan memilih untuk mempertahankan kerusi MPT sahaja," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!