Jakim iktiraf 88 badan pensijilan halal luar negara
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengiktiraf sebanyak 88 badan pensijilan halal dari 49 buah negara setakat Mei tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, jumlah tersebut dijangka terus meningkat seiring perkembangan industri berkenaan di Malaysia.
"Proses dari negara-negara yang mohon untuk dapatkan pengiktirafan daripada Jakim agak pantas (kerana) industri halal sedang berkembang pesat.
"Jadi negara luar yang nampak keuntungan perniagaan hasil pengiktirafan halal akan sentiasa berusaha teroka mana-mana agensi yang mengiktiraf halal supaya produk mereka lebih diyakini.
"Dengan keyakinan mengenai halal Jakim, sudah tentu banyak lagi negara akan tampil dan mohon bantuan kita," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program 'Makanan Halal: Selera Dunia' di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Sabtu.
Sementara itu mengenai penggunaan sijil halal palsu oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, beliau menjelaskan, penguatkuasaan dijalankan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Justeru menurutnya, Jakim sentiasa bekerjasama dengan kementerian tersebut dalam melaksanakan penguatkuasaan memerangi sijil halal palsu.
"Sekiranya Jakim terima aduan, agensi ini akan selaras dengan KPDN untuk jalankan pemantauan dan penguatkuasaan.
"Selain turun padang, Jakim ada bangunkan aplikasi bagi memudahkan masyarakat mengenalpasti sama ada produk diiktiraf halal atau tidak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!