Pemansuhan 548 hektar Hutan Simpan Segari akan diganti - Exco

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Kawasan seluas 548 hektar yang dikeluarkan dari Hutan Simpan Segari Melintang di Teluk Mengkudu, Manjung akan diganti dengan tanah kerajaan sebagai hutan simpan baharu.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, langkah itu selari dengan komitmen kerajaan negeri untuk mencapai sasaran 50 peratus daripada keluasan tanah negeri adalah hutan simpan.

Menurutnya, bagi tempoh dari tahun 2020 hingga 2024, kerajaan Perak telah mewarta masuk tanah kerajaan seluas lebih 7,768 hektar sebagai kawasan hutan simpan di negeri ini.

"Berdasarkan semakan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, terdapat 18 syarikat pengkuarian diberi kelulusan oleh Jabatan Perhutanan bagi menjalankan aktiviti pengkuarian di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang sejak 2011 sehingga 2021.

"Majlis Tanah Negara pada tahun 2021 telah membuat ketetapan bahawa tiada lagi aktiviti perlombongan atau pengkuarian dibenarkan beroperasi di dalam kawasan rizab hutan simpan yang telah diwartakan.

"Bagi mematuhi ketetapan tersebut, PTG dan Jabatan Perhutanan negeri melakukan penyelarasan supaya kawasan yang terlibat dalam aktiviti pengkuarian sedia ada diganti dengan tanah kerajaan sebagai hutan simpan baharu," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Beliau turut menegaskan sebarang aktiviti pengkuarian yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan yang telah dibatalkan status sebagai sebahagian hutan simpan akan tertakluk kepada pemakaian tenemen mineral dan undang-undang sedia ada.

Katanya, peraturan itu termasuklah pajakan melombong di bawah kawalan Enakmen Mineral Perak (2003) dan akan diurus bersama dengan pemakaian Akta Pembangunan Mineral 1994 (Akta 525).

Artikel Berkaitan:

"Juga Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa agar segala pelaksanaan aktiviti pengkuarian ini dapat dijalankan secara bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Kok Lim berkata, kerajaan negeri juga telah bersetuju meluluskan beberapa cadangan penambahbaikan dengan memperkenalkan peraturan lebih ketat berkaitan pengurusan bahan mineral serta pengembangan sektor industri pertengahan dan industri hiliran di Negeri Perak.

Ujar beliau, antara langkah tersebut, bermula tahun ini, operasi di bawah tenemen mineral iaitu pajakan melombong yang baharu perlu mempunyai kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Laporan Enviromental Management Plan (EMP), Kajian Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Laporan Erosion Sediment Control Plan (ESCP).

"Selain itu, Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) dan Kebenaran Merancang (KM) tertakluk kepada kesesuaian dan keadaan semasa serta polisi semasa yang berkuat kuasa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar yang menggesa kerajaan negeri memperhalusi semula pemansuhan pewartaan Hutan Simpan Segari Melintang tersebut.

Langkah pemansuhan bagi memberi laluan projek kuari itu dikatakan telah menimbulkan kebimbangan kepada komuniti nelayan dan penduduk sekitar kerana akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap ekonomi setempat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!