Warga emas 80 tahun maut, kereta terbakar
SERDANG - Seorang warga emas maut dalam kebakaran melibatkan sebuah kereta di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 2.39 petang.
"Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Kembangan dengan kekuatan seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil terbakar 90 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mangsa terlibat dipercayai berada dalam kenderaan yang terbakar itu.
"Mangsa seorang lelaki tempatan berumur 80 tahun dipercayai melecur 90 peratus di bahagian badan.
"Mangsa dipercayai dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!