108 individu disyaki terlibat GISBH jalani proses pemulihan JAIS

Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 108 individu yang disyaki terbabit dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) akan menjalani proses pemulihan akidah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, proses pemulihan itu sama ada melalui hukuman, perintah atau secara wajib berdasarkan fatwa.

Menurutnya, walaupun 108 individu ditahan itu telah diikat jamin namun mereka akan disiasat lanjut.

"Fatwa telah menyebelahi kita, mereka hendaklah dipulihkan maka sesiapa yang terlibat mesti jalani proses itu.

"JAIS mahu semua yang terlibat sama ada bersalah atau tidak bersalah mesti dipulihkan sebab apa yang mereka lakukan itu jelas (menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar)," katanya mengulas tindakan susulan ke atas penahanan 108 individu yang disyaki terlibat GISBH.

Mohd Shahzihan (enam dari kiri) menyampaikan hadiah juara Festival Al-Barzanji dan Marhaban kepada kumpulan Shoutul Makmuriah.
Mohd Shahzihan (enam dari kiri) menyampaikan hadiah juara Festival Al-Barzanji dan Marhaban kepada kumpulan Shoutul Makmuriah.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Festival Al-Barzanji dan Marhaban di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Sabtu.

Katanya, terdapat tiga bentuk pemulihan melalui hukuman alternatif yang diwarta di bawah Majlis Agama Islam Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Ada banyak juga kes ajaran sesat separuhnya dipenjara dan separuh lagi di pusat pemulihan akidah.

"Fatwa adalah sumber atau asas kepada tindakan kita. Kalau mereka tak nak dipulihkan maka ia merupakan kesalahan kerana melanggar fatwa," katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa terkini yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri itu bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Ia susulan kumpulan itu diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah, atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Februari 1993.

Jawatankuasa itu turut memutuskan bahawa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya mempunyai ciri-ciri yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah serta syariat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!