Geng global beroperasi seperti syarikat korporat gergasi - Ketua Interpol

Jürgen Stock. Foto AFP
Jürgen Stock. Foto AFP
A
A
A

NEW YORK/HAMBURG - Setiausaha Agung Interpol, yang bakal mengundur diri daripada jawatannya memberi amaran mengenai operasi geng antarabangsa.

"Dunia berisiko kalah dalam memerangi jenayah terancang rentas sempadan," kata Jürgen Stock kepada agensi berita Jerman (dpa) di New York, dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Stock menegaskan bahawa Interpol mempunyai bukti jelas bahawa kumpulan mafia seperti 'Ndrangheta dari Itali, yang dahulunya beroperasi di peringkat serantau, kini telah merebak ke semua benua.

"Mereka beroperasi seperti syarikat global," kata pegawai Interpol itu.

Kumpulan-kumpulan ini dilaporkan memiliki 'sumber yang sangat besar' untuk melaksanakan operasi, termasuk pemerdagangan manusia dan senjata.

Namun, sumber utama pendapatan bagi geng-geng ini masih daripada penyeludupan dadah, yang kini semakin meningkat di Eropah.

"Kita bercakap tentang semua jenis dadah yang ada di pasaran jenayah. Tetapi buat masa ini, kokain adalah masalah besar," kata Stock.

"Walaupun terdapat rampasan dadah yang mencatat rekod di pelabuhan utama Eropah seperti Antwerp, Rotterdam, dan Hamburg, harga jalanan dan bekalan masih tidak berubah yang jelas menunjukkan tiada kekurangan bekalan dadah haram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggaran menunjukkan bahawa pihak berkuasa kini hanya berjaya memintas sekitar 15 hingga 20 peratus daripada semua import.

Bagi memerangi ancaman yang semakin meningkat daripada geng-geng ini, Stock menekankan keperluan untuk meningkatkan kerjasama antarabangsa antara agensi penguatkuasaan undang-undang.

Pihak berkuasa perlu memberi tumpuan kepada menumpaskan 10 hingga 15 kumpulan jenayah terbesar yang beroperasi merentas sempadan, katanya.

Stock akan menamatkan tugasnya sebagai Setiausaha Agung Interpol selepas memegang jawatan itu selama 10 tahun pada November ini. Valdecy Urquiza dari Brazil dijangka disahkan sebagai penggantinya pada perhimpunan agung agensi itu yang akan datang, juga pada November. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!