Perak harap projek pemindahan air, sumber mineral dapat perhatian Belanjawan 2025

Saarani bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Sabtu.
Saarani bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berharap dua projek penting iaitu pemindahan air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah dan perlombongan bahan mineral di negeri ini mendapat perhatian dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan, 18 Oktober ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemindahan air menerusi projek pengurusan air Sungai Perak yang telah diluluskan kerajaan Pusat dengan peruntukan RM4 bilion itu perlu dimulakan segera tahun hadapan.

Saarani ketika hadir menyempurnakan perasmian penutup Hari Pemadam Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Sabtu.
Saarani ketika hadir menyempurnakan perasmian penutup Hari Pemadam Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh pada Sabtu.

"Kita perlukan (bajet itu) kerana projek ini kena dimulakan tahun hadapan. Walaupun lulus RM4 bilion, tetapi bukan semua akan diberikan (sekali gus), peruntukan itu diberi secara berperingkat.

"Selain itu, kita juga minta supaya diberi peruntukan kepada kerajaan negeri untuk memperhebatkan lagi usaha mencari gali bahan mineral.

"Kita sudah tubuhkan Terra Mineral Lab (TML) yang fungsinya untuk menentusahkan apa jenis mineral yang ada di negeri ini, jadi kita perlukan bajet untuk memulakan usaha berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Hari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Perak 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, kerajaan negeri mempunyai senarai projek yang panjang dan memahami masalah kewangan negara, namun dua projek tersebut antara yang perlu diberi keutamaan.

Katanya, projek lain adalah program-program yang melibatkan pembasmian kemiskinan dan pelaksanaan projek tebatan banjir yang menjadi antara peruntukan terbesar.

"Semua (senarai projek) itu, kita dah hantar melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

"Cuma esok petang, sebelum Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan) berangkat pulang (sempena program di Perak), saya akan berjumpa dengan beliau secara peribadi untuk menyatakan permohonan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!