AS minta imigran dari 4 negara keluar apabila program parol tamat
ISTANBUL - Imigran dari Cuba, Haiti, Nicaragua, dan Venezuela yang memasuki Amerika Syarikat (AS) melalui 'program parol' perlu meninggalkan negara itu apabila permit dua tahun mereka tamat jika mereka tidak memperoleh cara lain yang sah untuk tinggal, umum pentadbiran Biden pada Jumaat.
Agensi Anadolu memetik Washington Post melaporkan bahawa Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) berkata, program yang diperkenalkan semasa pemerintahan Presiden Joe Biden bertujuan mengurangkan penyeberangan sempadan secara haram.
Inisiatif itu membolehkan rakyat dari negara-negara berkenaan memohon parol dan memasuki AS secara sah melalui penerbangan komersial. Pegawai mengatakan usaha ini berjaya, dengan penyeberangan sempadan secara haram menurun sebanyak 99 peratus sejak ia dimulakan pada 2022 untuk rakyat Venezuela dan 2023 untuk rakyat negara lain.
"Tempoh dua tahun ini bertujuan untuk membolehkan individu mendapatkan bantuan kemanusiaan atau manfaat imigresen lain yang mereka layak, serta bekerja dan menyumbang kepada Amerika Syarikat," kata Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.
Sesiapa yang belum memohon suaka atau status lain "perlu meninggalkan Amerika Syarikat sebelum tempoh parol mereka tamat atau mungkin dikenakan prosiding pengusiran selepas tempoh parol berakhir," menurut jabatan itu.
Seorang pegawai yang mengetahui mengenai program itu memberitahu akhbar berkenaan bahawa hanya sebahagian kecil peserta berkemungkinan berisiko kehilangan status parol mereka selepas dua tahun. Jika dirujuk untuk dihantar pulang, mereka mungkin berdepan kelewatan bertahun-tahun di mahkamah imigresen AS yang mempunyai banyak kes tertunggak.
Walaupun dengan tarikh tamat tempoh yang akan datang, program parol ini akan terus menerima sehingga 30,000 pemohon baharu setiap bulan, menurut pegawai itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!