'Tiada kebenaran anjur acara gugat kesucian Islam' - Onn Hafiz

Tangkap layar peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi.
Tangkap layar peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam satu program larian di Kota Tinggi.

“Kerajaan Johor ingin menegaskan bahawa acara tersebut bukanlah anjuran kerajaan negeri mahupun mana-mana agensi kerajaan di negeri Johor.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak menganjurkan acara yang mencetuskan isu boleh menggugat keharmonian dan kesucian agama Islam serta menjatuhkan imej Johor," katanya dalam kenyataan pada malam Sabtu.

Sebelum ini, tular foto dan video berkenaan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru.

Dalam foto dan video tersebut memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian mencolok mata.

Menerusi foto tersebut, terdapat peserta yang mengenakan pakaian seperti penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, pihaknya sudah berhubung dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penganjur larian tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, difahamkan objektif penganjuran acara tersebut tidak seperti yang berlaku dan kejadian tersebut adalah di luar kawalan pihak penganjur.

"Kerajaan negeri berharap agar isu ini tidak dipanjangkan sehingga menjejaskan dan mengancam keharmonian negeri serta kesucian agama Islam," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!