Skuad remaja negara mampu tambah koleksi pingat di Nanchang

Skuad remaja negara meraih pingat gangsa tewas kepada China 110-76 dalam aksi separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024. - Foto: BAM
Skuad remaja negara meraih pingat gangsa tewas kepada China 110-76 dalam aksi separuh akhir acara berpasukan Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024. - Foto: BAM
A
A
A

SKUAD badminton remaja negara mampu menambah jumlah kutipan pingat pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2024 di Nanchang, China.

Itu reaksi pengendali skuad remaja negara Jeffer Rosobin berdasarkan prestasi semasa pemain negara yang memenangi pingat gangsa dalam acara berpasukan, beliau optimis mereka mempunyai peluang besar dalam acara individu.

“Saya harap pemain-pemain dapat fokus untuk memanfaatkan peluang ini.

“Kita mesti mengekalkan kestabilan dan lebih konsisten dari awal sampai akhir, kita mesti menjaga momentum,” katanya pada Sabtu.

Sebagai rekod skuad remaja negara meraih gangsa selepas tewas kepada China 110-76 dalam aksi separuh akhir pada Jumaat.

Keputusan itu menyaksikan pasukan negara mengulangi pencapaian pada edisi di Washington, Amerika Syarikat apabila tunduk kepada lawan sama di separuh akhir.

Sementara itu, Rosobin berpuas hati dengan format baharu yang digunakan pada kejohanan dunia berprestij itu.

“Kita dapat gangsa, cukup puas hati kerana dengan sistem baharu ini kita perlu menyesuaikan diri dan pasukan negara berjaya melakukannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan format baharu yang digunakan pada edisi kali ini, setiap pasukan perlu beraksi sebanyak 10 perlawanan iaitu dua bagi setiap kategori membabitkan perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Setiap perlawanan hanya bermain hingga 11 mata dan pasukan pertama yang mencapai 110 mata akan dinobatkan sebagai pemenang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!