168 individu dapat kerja menerusi Jobcare

Papparaidu melawat salah sebuah reruai semasa Program Karnival Kerjaya Jobcare di Dewan Hamzah, Klang pada Sabtu.
Papparaidu melawat salah sebuah reruai semasa Program Karnival Kerjaya Jobcare di Dewan Hamzah, Klang pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 168 individu mendapat pekerjaan dalam Program Karnival Kerjaya Jobcare di Dewan Hamzah, Klang pada Sabtu.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V Papparaidu berkata, sebanyak 30 majikan telah membuka kaunter dengan sebanyak 3,748 kekosongan jawatan dengan tawaran gaji antara RM1,500 hingga RM8,000.

Menurut beliau, program anjuran Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Pekerja Negeri Selangor bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO itu berjaya menarik seramai 400 individu hadir selain terdapat sesi temu duga kerja dijalankan.

"Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi menyokong pencari kerja dan mempromosikan peluang pekerjaan dalam kalangan warga Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehingga kini, program Jobcare telah dilaksanakan di enam daerah iaitu Hulu Langat, Petaling, Kuala Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Klang.

Seramai 634 peserta Jobcare telah berjaya memperoleh pekerjaan melalui program berkenaan.

Dalam pada itu, Papparaidu menasihatkan golongan belia terutamanya graduan baharu untuk tidak meletakkan had dalam memilih pekerjaan.

Ujar beliau, golongan muda yang telah menamatkan pendidikan mereka harus memanfaatkan peluang pekerjaan tanpa memilih pekerjaan sepadan dengan kelayakan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan pendidikan dan kemahiran diutamakan berbanding pendidikan dalam pasaran buruh, graduan harus menumpukan perhatian kepada menimba pengalaman terlebih dahulu," jelas beliau.

Dalam pada itu, katanya, semua Ahli-Ahli Majlis dan Ketua Komuniti India negeri Selangor akan menerima Skim Perkhidmatan Sosial (SPS) Madani.

"Inisiatif kerajaan ini menyediakan pembiayaan caruman sepenuhnya dan permohonan SPS Madani masih dalam proses," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!