Rakyat perlu berani lapor kes rasuah - Ali Imran
SHAH ALAM - Pendidikan awam berkaitan rasuah perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat agar mempunyai tanggungjawab dan berani untuk tampil melaporkan perbuatan rasuah melibatkan pihak penguatkuasa.
Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pahang, Ali Imran Hassan berkata, pendedahan tersebut penting untuk meningkatkan kesedaran di samping penguatkuasaan undang-undang lebih ketat kepada pesalah rasuah.
“Bukan itu sahaja, pembentukan badan pemantau bebas juga boleh membantu meningkatkan integriti dalam sektor awam dan swasta.
“Sebagai contoh inisiatif oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membanteras rasuah dalam anggotanya. Ini menunjukkan komitmen untuk mencipta persekitaran kerja yang bersih,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan, DBKL memberi fokus kepada pemantauan dalaman dan melaksanakan latihan lebih intensif mengenai kepentingan integriti sebagai langkah memerangi rasuah di organisasi itu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, usaha itu adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya bagi memastikan setiap anggota penguat kuasa mempunyai pengetahuan dan kesedaran mendalam mengenai bahaya amalan rasuah serta cara untuk mengelak dan melaporkan sebarang cubaan mencurigakan.
Dalam pada itu, Ali Imran berkata, inisiatif DBKL untuk menambah baik proses kerja menunjukkan mereka serius dalam memastikan amalan rasuah dibanteras.
“Organisasi lain perlu mencontohi pendekatan ini untuk memastikan pekerja tidak merasa terpaksa akibat ketidakpuasan hati terhadap gaji atau keadaan kerja.
“Individu yang bertanggungjawab wajib tanam dalam jiwa mereka sedalam mungkin bahawa Malaysia mesti bebas dari rasuah, tetapi jika masih akur dengan hulur duit bawah meja, kita tidak akan ke mana,” katanya.
Tambah beliau, antara sektor yang sudah merancang dan menggariskan inisiatif banteras jenayah berkenaan ialah pembinaan dan beberapa sektor keselamatan.
“Ini merupakan petanda yang baik sekali gus menunjukkan kesedaran kolektif terhadap isu hulur wang kopi.
“Jika usaha ini berterusan dan efektif, semestinya peratusan rasuah berpotensi untuk berkurangan walaupun memerlukan beberapa perubahan budaya dalam organisasi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!