Pasukan pengaman PBB kekalkan kedudukan di Lubnan

Kenderaan pengaman PBB (UNIFIL) memandu di perkampungan Lubnan Wazzani berhampiran sempadan dengan Israel, selatan Lubnan - Foto: Reuters
Kenderaan pengaman PBB (UNIFIL) memandu di perkampungan Lubnan Wazzani berhampiran sempadan dengan Israel, selatan Lubnan - Foto: Reuters
A
A
A

BEIRUT - Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan bahawa pasukan pengamannya masih ditempatkan di pelbagai lokasi di seluruh Lubnan, dengan rancangan kecemasan sedia untuk diaktifkan jika diperlukan.

Agensi Anadolu melaporkan jurucakap pasukan pengaman, Andrea Tenenti, mengesahkan dalam kenyataan pada Sabtu bahawa tentera Israel memaklumkan kepada UNIFIL pada 30 September mengenai niatnya untuk melancarkan serangan darat terhad ke wilayah Lubnan dan meminta penempatan semula beberapa kedudukan pasukan itu.

Jurucakap itu menambah bahawa pasukan pengaman sentiasa menyesuaikan kedudukan dan aktiviti mereka berdasarkan keadaan semasa.

Tenenti berkata: "Kami mempunyai rancangan kecemasan sedia untuk diaktifkan jika perlu," tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.

Jurucakap itu juga menegaskan bahawa UNIFIL terus menggesa Israel untuk mematuhi Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang dianggap sebagai "satu-satunya penyelesaian berkesan untuk mengembalikan kestabilan di rantau ini."

Resolusi yang diterima sebulat suara pada 11 Ogos 2006 itu menyeru pemberhentian sepenuhnya permusuhan antara Hizbullah dan Israel dan menubuhkan zon bebas tentera antara Garisan Biru, sempadan antara Lubnan dan Israel, dan Sungai Litani di selatan Lubnan.

Zon ini adalah bebas daripada pejuang, peralatan ketenteraan, dan senjata, kecuali yang dimiliki oleh tentera Lubnan dan UNIFIL.

Hizbullah dan Israel terlibat dalam peperangan rentas sempadan sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza pada Oktober tahun lepas yang telah mengorbankan lebih 41,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Sekurang-kurangnya 2,011 orang terbunuh, lebih 9,500 cedera, dan 1.2 juta lagi kehilangan tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Masyarakat antarabangsa telah memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh meningkatkan konflik Gaza kepada perang serantau yang lebih meluas. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!