'Saya mohon doa semua berkhidmat sebagai Naib Presiden' - Ahmad Faizal
SHAH ALAM - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon doa restu daripada semua pihak agar ALLAH mengizinkan beliau berkhidmat dalam kapasiti sebagai Naib Presiden parti itu.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tambun berkata, pencalonan beliau sudah diterima dan disahkan sebagai calon nombor satu.
"Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berbesar hati menjadi pencadang dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai penyokong kepada penawaran diri saya sebagai calon Naib Presiden.
"Alhamdulillah, pencalonan saya diterima dan disahkan sebagai calon nombor satu. Sejak dari awal penubuhan Bersatu, saya telah berjanji kepada diri sendiri untuk bekerja, berusaha dan berkhidmat tanpa memikirkan tentang jawatan, pangkat atau kuasa.
"Sebolehnya, setiap hari ada sesuatu yang dapat dilakukan bertujuan untuk memperkuatkan Bersatu. Saya sedar dan benar-benar yakin, kejayaan akan sama-sama kita rasai jika sanggup berkorban demi perjuangan. Itulah yang akan terus saya lakukan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Faizal bersama Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Datuk Dr Radzi Jidin ialah antara enam calon disahkan layak bertanding merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti berkenaan bagi 2024-2027.
Ronald dan Radzi bertanding untuk mempertahankan jawatan disandang mereka itu, manakala tiga lagi calon yang turut bersaing dalam pertandingan jawatan Naib Presiden Bersatu ialah A'ziss Zainal Abiddin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, beliau berasa kagum dengan persefahaman dalam kalangan pemimpin Bersatu dan bertambah yakin dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.
"Alhamdulillah. Saya amat bersyukur apabila mendapat berita mengesahkan jawatan Presiden Bersatu tidak mendapat penawaran atau pencalonan selain daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Begitu juga dengan pencalonan jawatan Timbalan Presiden, dimana saya bertindak sebagai pencadang kepada penawaran diri Hamzah sambil di sokong oleh Datuk Seri Ronald Kiandee.
"Saya ucapkan tahniah dan setinggi penghargaan kepada semua pemimpin di semua peringkat yang sudi menawarkan diri bagi menabur bakti. Sama-sama kita mendoakan agar ALLAH mengurniakan kemudahan bagi setiap langkah dilalui dan menurunkan rahmat kepada setiap yang berjuang dengan ikhlas," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!