200,000 pelarian tiba di Syria selepas serangan Israel ke atas Lubnan - UNHCR

Warga Syria dan Lubnan tiba di Syria dari Lubnan sejak serangan Israel bermula pada 23 September lalu - Foto: UNHCR
Warga Syria dan Lubnan tiba di Syria dari Lubnan sejak serangan Israel bermula pada 23 September lalu - Foto: UNHCR
A
A
A
BEIRUT - Lebih 200,000 warga Syria dan Lubnan telah tiba di Syria dari Lubnan sejak serangan Israel bermula pada 23 September, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Filippo Grandi, pada Sabtu, lapor Sputnik.

"Lebih 200,000 orang - warga Lubnan dan rakyat Syria yang tinggal di Lubnan - kini menyelamatkan diri dan menyeberang sempadan Syria akibat serangan udara Israel," kata Grandi di X.

Beliau berkata, usaha bantuan oleh pihak berkuasa Syria, misi Bulan Sabit Merah, pejabat UNHCR, dan organisasi lain sedang giat dijalankan di kawasan sempadan.

Pada Jumaat, pesawat Israel menyerang pusat pemeriksaan Masnaa di Wilayah Lubnan, menyebabkan lalu lintas di Lebuh Raya Beirut-Damsyik terhenti di kedua-dua arah dan laluan utama untuk pelarian terputus, menurut Kementerian Luar Syria.

Israel memulakan serangan darat terhadap Hizbullah di selatan Lubnan pada Isnin, sementara serangan udara dan roket antara satu sama lain terus berlangsung.
Artikel Berkaitan:


Perdana Menteri sementara Lubnan, Najib Mikati berkata pada Rabu bahawa kira-kira 1.2 juta orang, termasuk pelarian Syria, telah kehilangan tempat tinggal akibat permusuhan itu.

Menteri Kesihatan Lubnan Firass Abiad pula berkata pada Khamis bahawa hampir 2,000 orang terbunuh dan lebih 9,000 lagi cedera dalam serangan Israel. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!