Kubur bertingkat wajar diperluas, atasi kubur padat

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Fahmi
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. Gambar kecil: Ahmad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan kubur bertingkat khususnya di bandar-bandar utama amat wajar dipertimbangkan bagi mengatasi masalah kekangan tanah selain kepadatan perkuburan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan dan negara dijangka akan berdepan masalah tersebut pada masa akan datang.

Menurutnya, sebagai persediaan awal pihak-pihak terlibat wajar memperincikan isu berkenaan agar dapat ditangani sebaiknya apabila keadaan semakin meruncing.

“Sudah tiba masanya kita perluaskan kerana pelaksanaan kubur bertingkat bukannya perkara baharu dalam negara, malah telah dipraktiskan di beberapa masjid,” katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad yang sedang meneliti pelaksanaan kubur bertingkat bagi menangani isu kepadatan tanah bagi pengebumian jenazah umat Islam di negeri ini.

Mengulas lanjut Ahmad Fahmi berkata, Selangor mungkin boleh mempelopori kaedah tersebut berikutan sudah ada fatwa daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor pada tahun 2004 berkaitan perkara tersebut.

“Berdasarkan fatwa tersebut, yang membenarkan mana-mana tanah perkuburan yang tidak lagi mempunyai ruang untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan bertingkat dengan cara dan kaedah menambahkan tanah sekitar empat kaki untuk tujuan kubur bertingkat,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, dinasihatkan agar keluarga dan waris terlibat diberikan kefahaman terlebih dahulu bagi mengelakkan timbul isu-isu berbangkit selepas itu.

Artikel Berkaitan:

“Saya fikirkan ia sesuai dilaksanakan dan pelaksanaannya perlu mencapai kata sepakat antara pihak masjid dan keluarga terlibat untuk berikan penerangan supaya tidak timbul masalah kelak,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, sudah tiba masa pengurusan masjid atau majlis agama Islam dan jabatan agama Islam di peringkat negeri melihat kapasiti bagi tempoh jangka masa panjang untuk mengenal pasti tanah-tanah perkuburan sedia ada yang dijangka berdepan masalah kepadatan.

“Saya cadangkan kerajaan negeri atau jabatan agama Islam masing-masing lakukan penanda aras dalam pelaksanaan tanah perkuburan bertingkat dengan mencontohi negeri perintis atau Singapura sebagai negara yang telah lama amalkan perkara itu untuk tempoh masa panjang,” kata beliau.

Menurutnya, menerusi perkongsian maklumat itu, negeri pelaksana akan memperoleh lebih input selain cadangan penyelesaian kepada perkara berbangkit.

“Majlis agama Islam juga boleh menetapkan satu ketetapan untuk selaraskan konsep tanah perkuburan bertingkat agar kita dapat memaksimumkan keluasan tanah perkuburan dan susun atur dibuat dengan baik,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!