Tiga beradik kongsi minat melukis
SHAH ALAM - Berkongsi minat yang sama menjadikan tiga beradik asal dari Serendah, tidak berasa jemu memasuki mana-mana pertandingan melukis bagi mengasah bakat terpendam sejak dari kecil.
Nur Elyssa Dania Edy Sharil, 13, Nur Ema Dzulaikha, 10, dan Nur Ema Dzafira, 9, selalu meluangkan masa bersama untuk berlatih melukis watak atau figura kegemaran mereka.
Menurut Nur Elyssa Dania, dia mempunyai buku komik ciptaannya sendiri kerana meminati seni lukisan dan penulisan jalan cerita.
“Selalunya apa yang saya lukis dan jadikan komik akan dibaca oleh adik-adik saya.
“Bukan itu sahaja, sebagai kakak juga saya akan mengajar mereka untuk memperbetulkan apa yang mereka lukis,” katanya ketika ditemui di Pertandingan Doodle Interaktif anjuran Karangkraf di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Sabtu.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, melukis membuatkannya berasa gembira apatah lagi jalan penceritaan yang direkanya itu disokong kuat oleh adik-adiknya.
Bagi Nur Ema Dzafira pula, dia bercita-cita untuk menjadi seorang pelukis pada masa hadapan.
Sementara itu, ibu mereka, Balqis Azmi, 39, memberitahu, dia mula mengesan bakat anaknya sejak mereka berusia tujuh tahun, manakala abangnya pula tidak meminati seni tersebut.
“Bermula dengan kakak dan akan diikuti oleh dua adiknya. Sebenarnya kakak mereka yang mempengaruhi kepada minat mereka sekarang.
“Bila di sekolah guru yang mengajar mesti akan memuji lukisan anak-anak saya dan saya tidak nafikan saya sangat gembira dan bangga,” katanya.
Ujar Balqis, dia tidak menolak kemungkinan jika suatu hari nanti bakat anak-anaknya itu mampu menjadi lebih besar serta dipandang orang ramai.
“Sebagai ibu, tiada apa yang saya harap melainkan kejayaan untuk semua anak-anak.
“Tidak kira apa yang mereka minat dan buat, saya tetap akan sokong sampai bila-bila,” katanya.
REAKSI PENGUNJUNG
“Saya minat buku keagamaan kerana mahu mendalami serta mendekatkan diri dengan pencipta dan disebabkan itu saya datang hari ini untuk mencari buku bergenre tersebut. ”
Pekerja swasta dari Pelabuhan Klang, Sa’aidon Mohd, 60.
“Saya suka buku yang mempunyai penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Bagus untuk anak-anak saya menerapkan bahasa itu di sekolah, dan apa yang dilihat kualiti tersebut semuanya ada pada buku terbitan Karangkraf. ”
Kakitangan kerajaan dari Kajang, Siti Shahnaz Abu Bakar, 43.
“Buku bergenre seram membuatkan saya bermain dengan perasaan takut, cemas dan suspen, sebab itu saya banyak beli buku seram kerana Karangkraf menyajikan buku terbaik untuk pembelinya. ”
Pelajar dari Klang, Cahaya Imanina Abdul Rahman, 13.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!