Menyemarakkan sastera remaja
SASTERA remaja adalah sebahagian daripada sastera arus perdana.
Dalam konteks ini kita seharusnya mengambil kepedulian terhadap golongan pelapis ini. Menyemarakkannya adalah tanggungjawab penulis mapan.
Tujahan sastera remaja adalah berteraskan pendidikan, moral, akhlak dan psikologikal dalam proses pengejapan keperibadian kepengarangannya.
Pandangan dan nasihat biar pun diulang-ulang, ia tidak reput dek zaman.
Pengarang remaja harus mengerti betapa mustahaknya persesuaian di antara isi dengan bentuk.
Penekanan diutamakan kepada isinya yang mengandungi unsur-unsur pengajaran yang boleh memandu khalayak ke arah mencapai tujuan hidup yang suci.
Tegasnya, yang penting karya itu mempunyai unsur-unsur yang boleh mengajak pembaca berfikir dan mengikuti landasan kemanusiaan.
Cerpen, novel atau drama yang dihasilkan dapat menghiburkan khalayak.
Dan sekali gus melalui mesej, perutusan dan motif karya membawa nilai-nilai pendidikan.
Ada dalam kalangan khalayak membaca sesebuah karya kerana ingin menikmati ceritanya berbanding unsur pendidikannya.
Sebanyak 80 peratus pembaca terpesona kepada sesebuah karya kerana tarikan cerita dan isinya yang baik.
Tegasnya, naluri keseronokan itu berdasarkan kepada penilaian baik buruknya cerita, tinggi rendahnya mutu cerita dan kuat lemahnya kesan cerita.
Apabila nilai sesebuah karya itu berdasarkan ceritanya, secara tidak langsung aspek-aspek seperti bahan, logika dan perutusannya menjadi subjek yang turut berkaitan.
Ceritanya dikaitkan dengan tujuan muatannya dan teknik naratif yang diaplikasikan.
Dengan sendirinya, ia bersesuaian dengan peranan sastera untuk membimbing masyarakat.
Secara arbitrari subjek yang bertalian seperti persoalan, pemikiran, tema, idea, perutusan, falsafah, mesej, premis dan sebagainya yang menjadi aspirasi pengarang.
Karya sastera yang dinilai berdasarkan pendidikan pula dimulai oleh Plato dalam bukunya Republic yang menegaskan betapa pentingnya moral dalam sastera.
Plato menekankan bahawa mesej atau perutusan sesebuah karya adalah wajib dan sangat signifikan. Tanpa mesej karya itu tidak mempunyai apa-apa pengertian.
Horace dalam Ars Poetica pula menegaskan, kedua-dua unsur hiburan dan pendidikan secara integral diwujudkan dalam karya tidak ada dikotomi antara keduanya.
Sesuai dengan fungsi pendidikan, karya yang penuh dengan pengalaman benar dan bersifat faktual serta berisi dengan kebijaksanaan dan kepintaran, diharapkan dapat memandu masyarakat ke arah budaya yang sihat dan dinamik.
Menulis karya sastera harus mempunyai suatu tanggungjawab etika iaitu sebagai alat untuk memperbaiki kondisi masyarakat.
Dalam pandangan Islam menekankan bahawa semua bidang kebudayaan termasuk seni sastera digalakkan untuk meninggikan syiar Islam. Karya sastera genre prosa dan puisi wajib membawa ajaran Islam.
Untuk memenuhi keperluan itu, penulis remaja harus mencipta karya-karya sastera yang selari dengan akidah, tasyrik dan tasawuf serta weltanschauung kosmologi Qurani.
Dicirikan sifat-sifat sastera yang diterima oleh Islam sebagai berikut.
Pertama selagi ia tidak bertentangan dengan akidah, syariat dan prinsip hidup Islam.
Kedua sastera itu menghargai hidup, mengajak manusia menilai diri dan fungsinya mengarah kepada kebaikan dan memancarkan sikap serta nilai-nilai hidup Islam.
Ketiga sastera harus menentang apa juga bentuk kezaliman dengan meletakkan yang hak di tempatnya.
Keempat ia ditulis dengan niat sebagai ibadat dan kegiatan keseluruhan dihasratkkan mendapat keredaan ALLAH.
Kelima karya yang menggambarkan perhubungan manusia dengan Tuhan hubungan taabudiyah dan hubungan sesama manusia hubungan insaniah.
Keenam mencitrakan kisah manusia yang berjuang menegakkan keadilan dan mencari kebenaran. Sastera yang mencintai keamanan dan membenci segala bentuk yang boleh memincangkan masyarakat.
Karya yang baik harus bermoral. Pengarang remaja harus meletakkan nilai moral di hadapannya.
Moral ialah kebaikan dan keburukan yang ditentukan oleh masyarakat.
Moral ialah ajaran, pendidikan dan nilai-nilai murni. Tegasnya, norma inilah yang menentukan gerak kerja insani dan biasanya berlandaskan sesuatu yang mulia, dihargai dan bernilai yang tinggi.
Ilham yang menjadi sumber pengkaryaan mestilah diteliti dan difikirkan buruk baiknya.
Kemudian barulah dituliskan dengan penuh kesedaran.
Maknanya seseorang pengarang remaja tidak menulis sesuatu mengikut perasaan dan kesukaan sendiri sahaja. Ada pertimbangan moral yang harus difikirkan.
Tujuannya supaya karya yang dihasilkan itu bermanfaat kepada manusia.
Ketinggian sesebuah karya itu bergantung kepada ketinggian moral tersebut.
Karya sastera wajib bermoral, kerana ia sebagai neraca yang menentukan nilainya. Karya-karya yang tidak mementingkan moral dianggap tidak bernilai.
Salah satu ciri sastera yang baik ialah mengandungi sikap hidup dan semangat zaman yang dibentuk oleh zaman dan masyarakatnya.
Tegasnya, menulis sastera bermotifkan sebagai suatu gerakan ke arah memenuhi keperluan kemasyarakatan dan kemanusiaan.
Penulis harus bertindak sebagai guru dan menjadi misali untuk diamalkan oleh khalayak.
Pengarang juga mestilah menjadi golongan yang moralis. Setiap pengarang hendaklah berkarya dengan penuh kejujuran, bersih hati dan sedia untuk mengajar dan senantiasa dalam belajar.
Sementara itu, prinsip kejiwaan atau psikologikal ialah untuk memahami aspek-aspek kebatinan diri pengarang.
Mengapa berkarya dan apakah dorongannya? Motifnya untuk menembusi alam pemikiran bawah sedar penulis remaja.
Kemudian menjurus pula kepada penelitian terhadap watak dan perwatakan karyanya.
Mengapa watak-watak itu beraksi sedemikian, bersifat normal, atau bertindak abnormal.
Manusia selalunya berkata-kata dengan dirinya sendiri. Kadang-kadang apa yang diucapkannya berbeza dengan apa yang berdetik di sanubarinya.
Karya yang baik biasanya watak-wataknya muncul dengan penuh keyakinan, berjiwa kuat dan penuh motivasi.
Bawah sedar banyak menentukan cara berfikir dan bertindak seseorang.
Dalam diri sentiasa berkonflik antara perasaan tanpa sedar dengan keinginan yang tumbuh dari luar.
Konflik itu pula bercampur-baur dengan emosi yang negatif dan positif iaitu suka dengan duka, kasih dengan sayang, benci dengan rindu dan sebagainya.
Ada konflik manusia yang berjaya disimpan dalam dirinya, disebut sublimasi.
Jika manusia itu gagal menyimpannya lalu menceritakannya kepada orang lain, lahir tanpa sedar sebagai neurosis atau psikosis.
Zaman remaja ini dikatakan sebagai suatu tempoh usia yang banyak sekali tekanan jiwa terhadap individu.
Tetapi, masa inilah juga dilihat sebagai suatu zaman kegemilangan.
Namun zaman remaja juga sebagai suatu tempoh periodisasi yang penuh kesulitan dan kesukaran.
Begitulah karya sastera remaja yang ditulis, mencitrakan budaya remaja dan ditujukan kepada para remaja.
Ada juga penulis dewasa yang bertindak menulis karya remaja.
Apa pun kedua-duanya tetap dikawal oleh struktur, tekstual, kontekstual, sistem dan organisasinya. Usaha menyemarakkannya harus berterusan, supaya penulisannya menjadi dinamik dan fungsional.
Biasa terjadi kekosongan dalam pemberian anugerah dalam genre ini, justeru berlaku kelangkaan dalam penciptaannya.
Diharapkan hal ini tidak terjadi lagi.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!