Israel lakukan persiapan untuk serang Iran - Laporan

Israel merancang kempen ketenteraan yang meluas terhadap Iran dan bersiap sedia menghadapi serangan lanjut peluru berpandu dari Tehran. Foto Agensi
Israel merancang kempen ketenteraan yang meluas terhadap Iran dan bersiap sedia menghadapi serangan lanjut peluru berpandu dari Tehran. Foto Agensi
A
A
A

BAITULMUQADDIS - Tentera Israel sedang bersiap sedia untuk serangan balas berskala besar terhadap Iran selepas Tehran melancarkan serangan peluru berpandu besar-besaran awal minggu ini sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin kanan Hizbullah dan Hamas, lapor Agensi Anadolu memetik media Israel pada Sabtu.

Agensi itu memetik laporan Perbadanan Penyiaran Awam Israel bahawa tentera Israel sedang bersiap untuk "tindakan balas besar-besaran dan ekstrem" terhadap Iran.

Ini susulan serangan peluru berpandu balistik Iran ke atas kemudahan ketenteraan dan Kerajaan Israel pada Selasa sebagai tindak balas terhadap pembunuhan tokoh kanan dalam kumpulan pejuang Hizbullah dan Hamas.

"Tentera merancang tindak balas yang signifikan terhadap serangan peluru berpandu Iran, yang walaupun tidak menyebabkan kerosakan besar, tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan balas. Tentera sedang bersedia untuk serangan," menurut saluran media itu.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa Israel menjangkakan sokongan dari negara-negara lain dalam pakatan menentang Iran, serta penyelarasan antarabangsa yang berterusan.

Ia turut menambah bahawa sekutu Israel, termasuk Amerika Syarikat, melihat Iran sebagai ancaman bersama.

Dalam laporan berasingan, Agensi Anadolu memetik akhbar Haaretz mengatakan bahawa Israel merancang kempen ketenteraan yang meluas terhadap Iran, sambil turut bersiap sedia menghadapi serangan lanjut peluru berpandu dari Tehran.

Menurut akhbar itu, selain bersiap sedia untuk tindakan terhadap Iran, tentera Israel meningkatkan serangan ke atas Gaza.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Iran melancarkan sekurang-kurangnya 180 peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh, dan pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah.

Israel menyasarkan Nasrallah dan komander Hizbullah lain dalam serangan udara di pinggir bandar selatan Beirut pada 27 September.

Haniyeh terbunuh dalam serangan ke atas tempat penginapannya semasa lawatan ke Tehran pada akhir Julai. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!