Polis kenal pasti individu, penganjur acara larian berpakaian tidak senonoh

Tangkap layar peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi. (Gambar kecil: M Kumar)
Tangkap layar peserta berpakaian tidak senonoh dalam Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di sebuah hotel di Bandar Penawar, Desaru, Kota Tinggi. (Gambar kecil: M Kumar)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis sedang mengenal pasti individu beberapa individu yang terbabit dalam acara larian antarabangsa di sebuah hotel di Desaru Kota Tinggi, yang berpakaian tidak senonoh dan berunsur lucah.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, penganjur program terbabit juga akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, siasatan awal dijalankan mendapati hanya segelintir peserta larian antarabangsa di Kota Tinggi itu berpakaian tidak senonoh dan lucah.

Namun, siasatan tetap dijalankan terhadap penganjuran program larian berkenaan kerana menyentuh sensitiviti kaum dengan kelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat tular jam 5 petang pada Sabtu di Facebook laman khas penduduk Kota Tinggi dengan kapsyen 'apa nak jadi dengan bandar Penawar ini'.

"Ia dikongsi oleh pemilik atau pengendali FB Mohd Latif bin Talib memaparkan beberapa gambar dan sebuah klip video sekumpulan individu berpakaian berwarna merah serta berkelakuan tidak senonoh dan lucah di tempat awam.

"Antara kenyataan yang dimuat naik bersama-sama dengan hantaran itu adalah apa nak jadi dengan Bandar Penawar ni, risau bala datang nanti.

"Kawasan yang bermajoriti Melayu Islam tetapi ada event camtu. siapa yang memberi kelulusan event Pan Asia 2024 ni?" katanya dalam kenyataan akhbar malam ini.

Artikel Berkaitan:

Kumar berkata, siasatan awal polis mendapati gambar-gambar terbabit dipercayai dirakam sempena program larian antarabangsa Pan Asia 2024 dijadual bermula Jumaat hingga Ahad membabitkan beberapa kawasan di daerah Kota Tinggi, Kulai dan Seri Alam.

Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

Selain itu siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan yang menghina atau lucah dengan niat membangkitkan keadaan tidak aman, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Dalam pada itu, polis Johor memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam menerusi tindakan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!