Rumah dibaling sembilan botol 'molotov cocktail'

Kejadian sekitar jam 3 pagi itu menyebabkan sebuah kereta dan sebuah motosikal rosak. Foto hiasan
Kejadian sekitar jam 3 pagi itu menyebabkan sebuah kereta dan sebuah motosikal rosak. Foto hiasan
A
A
A

MANJUNG - Sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis di sini dibaling sembilan botol bom petrol dalam kejadian pada Sabtu.

Kejadian sekitar jam 3 pagi itu menyebabkan sebuah kereta jenis Honda dan sebuah motosikal mengalami kerosakan akibat kebakaran.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada seorang lelaki yang menghuni kediaman terbabit.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, tindakan itu dilakukan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along.

"Semasa pemeriksaan, polis turut menemui lima kertas tertera tulisan bahasa Cina di luar pagar rumah yang memberi peringatan membayar semula hutang.

"Bagaimanapun pengadu menafikan terlibat dengan sindiket berkenaan atau bermusuh dengan pihak lain," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Hasbullah berkata, siasatan lanjut kemudiannya mendapati, terdapat tiga suspek memakai pelitup muka telah menghampiri rumah mangsa pada hari kejadian.

Katanya, kesemua suspek menaiki kereta jenis Toyota Altis berwarna putih dengan nombor pendaftaran tidak pasti telah membaling sembilan botol molotov cocktail ke arah rumah itu hingga mengakibatkan kebakaran di bahagian hadapan rumah.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian itu disedari bapa pengadu yang kemudiannya menjerit ke arah suspek menyebabkan kesemua mereka segera beredar. Api kebakaran berjaya dipadamkan oleh bapa pengadu.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli di talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan IPD Manjung 05-688 6222 bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!