Pemain Kedah profesional, tetap hadir jalani latihan

Nafuzi (tiga kiri) semasa mengendalikan sesi latihan KDA FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada petang Sabtu. Foto KDA FC
Nafuzi (tiga kiri) semasa mengendalikan sesi latihan KDA FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada petang Sabtu. Foto KDA FC
A
A
A

WALAUPUN masih dihimpit dengan masalah tunggakan gaji, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC dilihat tetap turun menjalani latihan di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada petang Sabtu.

Sang Kenari tidak beraksi dalam beberapa perlawanan Liga Super baru-baru ini selepas penangguhan perlawanan menentang Sabah FC pada 28 September lalu.

Seramai 14 pemain turun menjalani latihan bersama ketua jurulatih, Nafuzi Zain dan barisan kejurulatihan walaupun dalam suasana hujan bagi persiapan menghadapi aksi Liga Super menentang Terengganu FC pada 19 Oktober ini di laman sendiri dan perlawanan tertunda bertemu Sabah FC pada 29 Oktober.

Antara pemain yang hadir menjalani latihan adalah ketua pasukan, Sony Norde termasuk semua pemain import iaitu Milos Gordic, Jose Cleylton, Sukhrob Nurullaev dan Ebenezer Assifuah.

Turut kelihatan adalah Rizal Ghazali, Wan Amirul Afiq, Akmal zahir, Ariff Farhan, Kamil Akmal, Fayadh Zulkifli, Loqman Hakim, Aiman Afif dan Heshamudin Ahmad.

Menurut sumber, dijangka pemain-pemain lain juga akan turun menyertai latihan bersama pasukan selepas urusan peribadi masing-masing selesai.

“Semua sudah maklum dengan keadaan situasi masalah kewangan yang dihadapi pasukan ini tapi pemain Kedah dilihat tetap profesional untuk hadir menjalani latihan pada petang ini.

“Pada hari ini seramai 14 pemain telah turun, mungkin esok atau hari seterusnya akan ada lagi yang akan turun berlatih,” katanya semasa ditemui pada petang Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan pemain Sang Kenari dilaporkan kembali memboikot sesi latihan selepas kejayaan mengikat Sri Pahang FC 2-2 di Stadium Darul Aman pada 21 September lalu.

Mereka bertindak demikian selepas masalah kewangan tersebut masih gagal diatasi oleh pihak pengurusan pasukan.

Pada awal September lalu, pemain KDA FC telah memboikot sesi latihan kerana masalah gaji yang menghantui mereka sehingga menyaksikan skuad muda terpaksa diturunkan pada aksi Liga Super yang menyaksikan tewas 5-0 kepada Kuala Lumpur City pada 14 September di Cheras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!