Tiada isu JPKKP tidak diiktiraf di Sabah - Bung Moktar

Bung Moktar menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi JPKKP kepada salah seorang pengerusi pada majlis penyerahan watikah pelantikan JKDM bagi DUN Tenom dan Kemabong di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom, Tenom.
Bung Moktar menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi JPKKP kepada salah seorang pengerusi pada majlis penyerahan watikah pelantikan JKDM bagi DUN Tenom dan Kemabong di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom, Tenom.
A
A
A

TENOM - Tidak timbul isu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) tidak diiktiraf di negeri ini kerana jawatankuasa itu memang diiktiraf kerajaan Perseketuan, tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Oleh itu, Bung Moktar berkata, mereka yang menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi JPKKP perlu menjalankan tugas dengan penuh amanah dan buktikan keupayaan serta tanggungjawab masing-masing.

"Pikul tanggugjawab serta amanah yang diberikan, jangan hilang fokus. Jika kerajaan negeri tidak mengiktiraf pelantikan ini, kerajaan pusat yang mengiktiraf pelantikan anda semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penyerahan watikah pelantikan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenom dan Kemabong di Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Jamal Nerubi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony dan Ketua UMNO Bahagian Tenom, Datuk Raimee Unggi.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, pengwujudan jawatan JPKKP di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di negeri ini bertujuan untuk mengimbangi kuasa di peringkat daerah oleh kerajaan negeri.

"Di DUN dalam ucapan pemimpin utama negeri mengakui menyokong konsep kerajaan Perpaduan namun sebaliknya bukan setakat pelantikan jawatan yang tidak seimbang malah kawasan DUN yang diwakili wakil rakyat dari UMNO, BN tidak mendapat peruntukan tahunan," dakwanya.

Sehubungan itu, beliau mengakui terpaksa berunding dengan kerajaan pusat khususnya isu KKDW bagi mewujudkan JPKK di Sabah bagi mengimbangi keperluan pembangunan berdasarkan kepada kepadatan serta geografi di Sabah khususnya di luar bandar.

Artikel Berkaitan:

"Kita yakin dengan kewujudan JPKK di setiap kampung di negeri ini mampu memperkasakan lagi aspek pembangunan dan peningkatan sosioekonomi masyarakat luar bandar yang masih memerlukan perhatian dari kerajaan pusat walaupun kerajaan negeri telah mengiktiraf rakyat Sabah sudah bebas dari garis kemiskinan.

"Namun sebaliknya masih ada rakyat di kawasan luar bandar masih memerlukan pembelaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!