Tiada rekod caruman PERKESO pekerja GISBH - Abdul Rahman
LIPIS - Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan pekerja di kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima sebarang laporan berhubung caruman PERKESO membabitkan pekerja GISBH.
Menurutnya, kementerian di bawah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) masih melakukan siasatan perkara tersebut.
"Kita sebenarnya dalam mesyuarat post Kabinet lalu, arahan kepada menteri supaya JTKSM menyiasat dan keputusan hanya diketahui Rabu depan.
"Kalau kita terima laporan ada dan ada bukti mencarum, biasanya kita akan membayar apa-apa (bantuan kewangan) sehingga mendapat pekerjaan baharu di bawah Skim Hilang Pekerjaan," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditanya pemberita selepas perasmian Program Bandar Bersih: Karnival Pahang Bersih Makmur 202 di Bandar Lama Kuala Lipis di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Sisa Domestik dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ir Shahrizal Samat dan Pengarah SWCorp Pahang, Shahrudin Hamid.
Abdul Rahman berkata, semua pekerja di negara ini yang mencarum akan dilindungi bagi membela nasib mereka.
Sebelum ini, pada 8 September lalu, Mahkamah Buruh di Johor memerintahkan GISBH membayar RM23,100 kepada bekas pekerjanya yang tidak dibayar gaji sepanjang bekerja dengan mereka.
Pada 11 September lalu, polis membuat serbuan terhadap 20 rumah amal dipercayai milik GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan serta menahan 171 individu bagi membantu siasatan kes mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam sidang akhbar di Kuantan mendedahkan keseluruhan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam operasi berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!