[VIDEO] Pindaan Perlembagaan tidak pernah dibincang dalam kerajaan - PM
IPOH - [DIKEMAS KINI] Pindaan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah dibincangkan atau disuarakan oleh mana-mana pemimpin dalam kerajaan Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, sepanjang tempoh dua tahun memimpin pentadbiran kerajaan, perkara berkaitan agama, bahasa, hak keistimewaan Bumiputera dan kedudukan raja-raja tidak pernah menjadi pertikaian.
"Baru-baru ini seorang tokoh pembangkang mengatakan kerajaan ini akan meninggalkan landasan, menukar prinsip Perlembagaan Islam sebagai agama persekutuan.
"Ini khayalan apa? Ini adalah hal-hal yang hanya kemudian mengajak kita berbincang dan membawa kebencian berdasarkan pemalsuan fakta.
"Datuk Seri Sarani (Saarani Mohamad) di Ipoh, KSN (Ketua Setiausaha Negara) ada di sini. Tidak pernah ada perbincangan dalam malangan mana-mana pegawai yang menolak prinsip-prinsip ini...tidak ada," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada Ahad.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, bahawa sebarang kritikan atau teguran terhadap pelaksanaan pentadbiran kerajaan boleh disuarakan, tetapi jangan bersifat fitnah dan pembohongan.
Katanya, tindakan sebahagian kelompok-kelompok yang menggunakan payung agama atau bangsa untuk menipu hanya akan menimbulkan suara kebencian dan perpecahan kalangan rakyat.
"Saya mengambil sikap tegas dalam perkara ini. Kritiklah dasar ekonomi kita, kritiklah Perdana Menteri kerana tidak bijak dalam banyak hal, tetapi tidak boleh mendusta, menfitnah dan menakutkan.
"Seolah-olah yang kita lakukan ini sudah merosak habis bahasa, bangsa, agama dan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!