Pengerusi DAP Johor: Chin Tong sedia beri laluan kepada Nie Ching

Dari kanan: Chin Tong, Anthony dan Nie Ching pada sidang akhbar selepas Konvensyen Biasa ​DAP Johor di Taman Ekoflora pad Ahad.
Dari kanan: Chin Tong, Anthony dan Nie Ching pada sidang akhbar selepas Konvensyen Biasa ​DAP Johor di Taman Ekoflora pad Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU -Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong sedia berundur daripada jawatannya sebagai Pengerusi DAP Johor untuk memberi ruang kepada timbalannya, Teo Nie Ching.

Chin Tong berkata keputusan itu dibuat selepas 10 tahun dirinya mengetuai DAP Johor dan telah berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pilihan raya umum (PRU) dan pilihan raya negeri (PRN).

"Sebagaimana yang telah saya umumkan, saya akan tetap bertanding untuk menduduki Jawatankuasa Negeri DAP Johor dalam pemilihan yang akan diadakan pada hari ini.

"Namun jika dipilih sekali lagi, saya akan mencalonkan Teo Nie Ching untuk jawatan Pengerusi DAP Johor," katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Biasa DAP Johor di Taman Ekoflora di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Setiausaha DAP Johor, Andrew Chen Kah Eng.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berharap cadangan melantik Nie Ching sebagai Pengerusi DAP Johor akam mendapat sokongan ahli.

"Perpaduan adalah kekuatan kita, dan perpaduan adalah kunci kemenangan.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin Nie Ching akan memimpin parti kita untuk membawanya kepada era yang lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Chin Tong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling menyatakan penghargaan kepada parti dan para perwakilan yang telah memberikan sokongan kepadanya sepanjang mengetuai DAP Johor.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua di sini, termasuk para pemimpin dan ahli, atas sokongan yang diberikan kepada saya sepanjang satu dekad sebagai Pengerusi DAP Johor," katanya.

DAP Johor kini memiliki 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac 2022.

Teo Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai merupakan Ketua Wanita DAP Kebangsaan dan Timbalan Menteri Komunikasi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!