Price Catcher bantu rakyat rancang perbelanjaan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA- Aplikasi yang dibangunkan khusus untuk memaparkan harga barangan terus kepada pengguna, Price Catcher membantu rakyat Malaysia merancang perbelanjaan secara berhemah.

Pengarah Bahagian Harga Barangan Negara, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Selvi Shanmugam berkata, ciri-ciri menarik Price Catcher antaranya bakul saya, jom kongsi dan carian berpandukan lokasi sangat memberi manfaat kepada pengguna.

"Contohnya melalui ciri bakul saya, pengguna boleh membuat perbandingan harga bagi kesemua barangan yang hendak dibeli bagi mendapat penjimatan tertinggi daripada barangan tersebut.

"Ciri ini akan memaparkan harga yang terendah boleh didapati di pasar raya atau kedai runcit di sekitarnya," kata Selvi ketika ditemui di pejabatnya pada Khamis.

Ujar beliau, sejak diperkenalkan penggunaannya setahun selepas dibangunkan pada 2017, Price Catcher telah melalui fasa-fasa penambahbaikan ke atas ciri-cirinya.

"Penambahbaikan ini dilakukan dari semasa ke semasa agar lebih mesra pengguna dengan ciri-ciri yang tersendiri," katanya.

Jelas Selvi, ciri Jom Kongsi pula menggalakkan pengguna Price Catcher untuk berkongsi harga barangan dengan memuatnaik harga promosi berserta gambar di aplikasi ini.

"Contohnya, pengguna memuat naik gambar telur beserta harganya, jadi pengguna lain turut boleh melihat perkongsian ini.

Artikel Berkaitan:

"Ia sekali gus memberi rujukan harga dengan pasar atau pasar raya terdekat di sekitar mereka," ujar Selvi.

Menurutnya, kutipan harga harian akan dilakukan berdasarkan dua kategori iaitu bagi barangan basah seperti ayam, telur, sayur dan barangan kering seperti bawang, cili kering, kentang dan lain-lain.

"Seramai 900 pegawai pemantau harga (PPH) akan membuat kutipan harga 480 barang di lebih 1,500 premis di seluruh negara," katanya.

Kemas kini harga

Selvi menunjukkan penggunaan Price Catcher.
Selvi menunjukkan penggunaan Price Catcher.



Jelas Selvi, bagi pasar basah, PPH perlu mengemaskini harga sebelum jam 9.30 pagi manakala pasar raya pula ia akan dikemaskini sebelum jam 12.30 tengah hari.

"Memandangkan pasar raya beroperasi jam 10 pagi, PPH akan turun ke lokasi dan melakukan pengemaskinian harga," katanya.

Tambah beliau, KPDN tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pasar raya mengubah harga mereka selepas kutipan harga dilakukan oleh PPH.

"Ini merupakan strategi perniagaan masing-masing dan kebiasaannya ia melibatkan barangan basah segar seperti ikan, ayam dan sebagainya.

"Mungkin pada waktu petang, pasar basah akan mengubah harga menjadi lebih murah," ujar beliau.

Mengulas mengenai cabaran yang dihadapi, Selvi menjelaskan PPH terpaksa mengemaskini kutipan harga secara manual sekiranya melakukan tugas berkenaan di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan internet.

“Selain itu, PPH tidak dapat melakukan pengemaskinian harga bagi barangan yang diperiksa kerana tidak mempunyai stok atau telah diubah harga oleh premis selepas pemantauan dan ada pengguna beranggapan harga tidak dikemas kini walhal sebenarnya memang tiada stok atau harga diubah selepas pemantauan,” katanya.

Menyentuh mengenai kekangan sumber manusia, beliau berkata, KPDN melaksanakan kutipan harga secara menyeluruh bagi kawasan luar bandar.

"Ia bermaksud kita buat sampling harga bagi memastikan ia mewakili populasi sekitar secara menyeluruh.

"Di kawasan luar bandar, kebiasaannya kita memasukkan data harga dari premispremis yang menjadi tumpuan ramai," katanya.

Ditanya mengenai tahap keselamatan aplikasi ini, Selvi menegaskan Price Catcher dibangunkan oleh kerajaan yang dijamin keselamatan data pengguna.

"Pentadbiran aplikasi ini dilakukan oleh pasukan teknologi maklumat (IT) kami di Putrajaya.

"Aplikasi ini juga tidak memerlukan pengguna memasukkan kad pengenalan. Cukup hanya nama, nombor telefon dan e-mel sahaja," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyasarkan 100,000 pengguna memuat turun aplikasi Price Catcher menjelang akhir tahun ini.

"Setakat ini sudah 430,000 pengguna Price Catcher, jadi dengan penambahbaikan dan promosi yang giat dilakukan oleh kementerian, kita harap sasaran itu dapat dicapai," kata Selvi.

Price Catcher boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store.

PPH terus berkhidmat

FAZHERAWATI
FAZHERAWATI



PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk memberikan keselesaan kepada rakyat.

KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan bagi menjaga kesejahteraan semua dan berharap dengan langkah itu, rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.

Sebagai Pegawai Pemantau Harga (PPH), Fazherawati Nordin mengorak langkah menabur bakti kepada tanah air tercinta dan terus melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi.

Ketika ditemui di KPDN, baru- baru ini, Fazherawati Nordin berkata, beliau bersama rakan seperjuangan melaksanakan tugas pemantauan harga pada setiap hari.

“Saya dan rakan setugas PPH melaksanakan apa yang diamanahkan," katanya pada Sinar Harian.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 14 tahun berkata, lebih 900 PPH digerakkan untuk memantau harga seluruh negara.

“Kami ditugaskan bagi membantu lebih 2,200 Pegawai Penguat kuasa KPDN sedia ada bagi tugas-tugas pemantauan,” ujar Fazherawati.

Menurutnya, sebanyak 1,641 premis meliputi pasar raya besar, pasar raya, pasar basah, pasar mini dan kedai runcit di seluruh negara yang perlu dilawati mengikut jadual yang ditetapkan.

"PPH ini bertanggungjawab mengutip harga barangan keperluan di mana ia melibatkan 480 barang. Daripada jumlah itu, 186 harga barangan perlu dikutip secara harian, 220 barang secara mingguan dan bakinya dibuat berdasarkan bulanan," jelasnya.

Tambah beliau, data harga yang dikutip akan disalurkan kepada kementerian bagi membantu kerajaan merangka dasar berkaitan harga selain dipaparkan di aplikasi Price Catcher.

"Data ini juga kita salurkan kepada agensi lain antaranya Bank Negara, Jabatan Perangkaan bagi melaksanakan tugas masing-masing," katanya.

Ujar Fazherawati, sebagai pengguna, rakyat Malaysia perlu memainkan peranan mereka selari dengan hasrat kerajaan.

"Pengguna ada hak jadi aplikasi Price Catcher ini membantu pengguna mendapat maklumat tepat untuk merancang perbelanjaan. Kita perlu bijak untuk menguruskannya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!