[VIDEO] Sekolah kerap banjir, padang dah macam bendang

A
A
A

PARIT - Masalah banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lambor Kiri di sini sejak lebih 10 tahun menggusarkan ibu bapa dan warga sekolah berkenaan.

Bagi Suri Mat Rawi, 46, kejadian banjir yang melanda sekolah tanpa sebarang penyelesaian jangka panjang itu dilihat semakin buruk dan menjejaskan sesi pembelajaran.

Masalah banjir yang melanda SMK Lambor Kiri berlarutan sejak lebih 10 tahun.
Masalah banjir yang melanda SMK Lambor Kiri berlarutan sejak lebih 10 tahun.

Menurutnya, suasana itu menyebabkan persekitaran pembelajaran dalam keadaan tidak selesa dan mengganggu tumpuan pelajar.

Laluan ke kelas juga dinaiki air akibat banjir yang melanda sekolah tersebut.
Laluan ke kelas juga dinaiki air akibat banjir yang melanda sekolah tersebut.

"Ini bukanlah pertama kali malah hampir setiap tahun cuma tahun ini paling teruk rasanya. Bulan ini sahaja tiga kali air naik di dalam kawasan sekolah. Padang pun dah macam bendang.

"Setiap tahun masalah ini dibangkitkan ketika mesyuarat agung PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) namun masih belum ada penyelesaian dibuat daripada pihak berkaitan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sekolah berkenaan pada Ahad.

Suri yang mempunyai seorang anak bersekolah di situ turut meluahkan rasa bimbang tentang keselamatan pelajar.

Artikel Berkaitan:

Megat Mahmud menunjukkan gelanggang bola tampar serta kawasan parkir motosikal pelajar yang dinaiki air akibat banjir.
Megat Mahmud menunjukkan gelanggang bola tampar serta kawasan parkir motosikal pelajar yang dinaiki air akibat banjir.

Menurutnya, keadaan banjir itu dibimbangi menyebabkan haiwan berbisa berada di dalam kelas selain air banjir yang kotor boleh menyebabkan penyakit serta bau tidak menyenangkan.

Seorang bapa, Haipifzan Ahmad Hamdan, 45, berkata, tahun ini kira-kira 10 kali banjir berlaku di sekolah tersebut.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan segala aktiviti di luar kelas turut terganggu termasuk sukan kerana padang serta gelanggang lain dinaiki air.

Katanya, pihak berkaitan tidak boleh berdiam lama untuk bertindak mencari penyelesaian sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

Keadaan padang sekolah yang dinaiki air susulan banjir yang melanda sekolah berkenaan.
Keadaan padang sekolah yang dinaiki air susulan banjir yang melanda sekolah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Kampung Teluk Sena, Reduwan Mat Pie memaklumkan pihaknya turut menerima rungutan dan aduan daripada ibu bapa berhubung masalah tersebut.

Katanya, kebanyakan pelajar di sekolah itu merupakan penduduk di lapan kampung berhampiran dan sebahagian kecil yang tinggal di asrama bukan penduduk setempat.

"Saya sudah panjangkan masalah ini kepada pihak berkaitan kerana ia sangat serius dan masih belum diselesaikan.

Megat Mahmud menunjukkan paras air banjir beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kelas di sekolah tersebut dinaiki air.
Megat Mahmud menunjukkan paras air banjir beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kelas di sekolah tersebut dinaiki air.

"Kita faham kebimbangan ibu bapa mengenai keselamatan anak-anak mereka yang belajar di sekolah tersebut kerana setiap kali mesyuarat masalah sama dibangkitkan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua PIBG SMK Lambor Kiri, Megat Mahmud Megat Yussof berkata, pihaknya sudah mengemukakan masalah dihadapi kepada pihak-pihak berkaitan termasuklah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) malah Kementerian Pendidikan juga dimaklumkan tentang perkara tersebut.

Menurutnya, punca berlaku kejadian banjir tersebut dipercayai limpahan air sungai dan tali air berhampiran selain faktor cuaca hujan.

"Kasihan pada warga sekolah. Setiap kali banjir pelajar dan guru-guru terpaksa gotong-royong bersihkan kelas yang terjejas. Jadi sesi pembelajaran akan terganggu.

"Sampai bila mereka nak berhadapan dengan masalah ini. Takkan setiap kali banjir nak tutup sekolah? Kita harap pihak-pihak berkaitan ambil berat tentang masalah ini kerana ia tak ada penyelesaian," katanya.

Beliau berkata, menjelang pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap ada peruntukan disediakan untuk mengatasi masalah banjir di sekolah berkenaan.

@sinarharianonline

Sekolah kerap banjir, padang dah macam bendang #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Edisi #Perak #Sekolah #Banjir #Pendidikan #Pelajar

BCC News - Ockeroid

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!