80 ekor kucing hiburkan pengunjung Payang Walk

Antara kucing yang dipamerkan sempena tema mingguan Cat Day 'Sayangi Kucing Kiter' di Payang Walk, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.
Antara kucing yang dipamerkan sempena tema mingguan Cat Day 'Sayangi Kucing Kiter' di Payang Walk, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gelagat 80 ekor kucing yang dipamerkan di lokasi perniagaan di Payang Walk, di sini sempena tema mingguan Cat Day 'Sayangi Kucing Kiter' pada Jumaat lalu menarik perhatian pengunjung.

Penganjur Payang Walk, Mohamad Afifi Md Ghadzi berkata, pusat sehenti yang menyediakan pelbagai jenis makanan termasuk kraftangan itu menghimpunkan pelbagai spesies kucing dari dalam dan luar negara.

Menurutnya, terdapat juga lima spesies kucing terbaik dunia yang dipamerkan di situ antaranya maine coon, munchkin, british shorthair dan lain-lain lagi.

"Pameran kucing hari ini disertai oleh lima kumpulan yang aktif memelihara kucing di Terengganu di mana terdapat lebih 30 ekor kucing yang dipamerkan untuk dijual.

"Selain itu, pengunjung yang datang ke sini juga turut membawa kucing peliharaan termasuk haiwan lain menjadikan jumlah kucing yang ada di sini sekitar 80 ekor," katanya.

Pengunjung teruja melihat pelbagai jenis kucing yang dipamerkan di Payang Walk.
Pengunjung teruja melihat pelbagai jenis kucing yang dipamerkan di Payang Walk.

Menurut Mohamad Afifi, program bermula jam 5 petang hingga 12 tengah malam itu menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 pengunjung di mana 500 daripadanya membawa haiwan peliharaan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang pengunjung, Mohd Fadzil Abdullah, 40 berkata, dia membawa baka kucing daripada spesies british shorthair yang dikacuk dengan baka maine coon untuk dipamerkan di lokasi tersebut.

"Saya amat menyokong pameran seperti ini. Kalau kita buat dalam tiga bulan sekali pun amat bagus untuk memperkenalkan kepada umum mengenai kempen sayangi kucing dan kaedah penjagaan kucing dengan betul.

"Tidak kira sama ada jumpa kucing jalanan ke, kucing pasar ke berilah ia makan. Untuk saya saya sendiri, kalau jumpa kucing jalanan, saya akan bacakan 'bismillah' untuknya," katanya.

Kucing daripada baka british shorthair yang dibawa ke Payang Walk menarik perhatian pengunjung yang berkunjung ke lokasi perniagaan itu.
Kucing daripada baka british shorthair yang dibawa ke Payang Walk menarik perhatian pengunjung yang berkunjung ke lokasi perniagaan itu.

Sementara itu, Madiana Musa, 40, berkata, ini kali pertama dia menyertai pameran di Payang Walk dan membawa 11 ekor kucing baka maine coon.

"Pameran ini bagus untuk pengunjung tahu lebih lagi mengenai jenis-jenis dan baka kucing yang lain dalam masa yang sama ia juga sebagai platform untuk kita terangkan kepada pengunjung apa yang mereka masih tidak tahu mengenai haiwan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Aslia Azizi, 26 dari Dungun berkata, dia tertarik untuk mengunjungi Payang Walk kerana mahu melihat dengan lebih dekat haiwan peliharaan yang dipamerkan di situ.

"Saya ada juga pelihara kucing di rumah, jadi saya datang ke sini untuk lihat kalau ada kucing yang saya berkenan untuk dibeli dan dibawa pulang.

"Saya dapat tahu mengenai pameran ini melalui rakan-rakan. Suka sangat tengok macam-macam baka kucing yang ada di sini," katanya yang datang ke situ bersama adik dan anak saudaranya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!