Hannah harap negeri sumbang dana bantu penganjuran LTdL
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mengharapkan setiap kerajaan negeri dapat menyumbang dana bagi membantu penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, banyak negeri yang bersedia menjadikan kawasan mereka sebagai tempat penganjuran LTdL, namun tidak sanggup membantu dengan mengeluarkan dana.
Menurutnya, LTdL merupakan platform terbaik buat setiap negeri menonjolkan keunikan yang ada di kawasan mereka sekali gus dapat menarik ramai pelancong.
"Semua negeri berminat, tetapi mereka tidak bersedia untuk mengeluarkan dana. Itu merupakan satu cabaran kepada kami.
"Banyak yang menawarkan tempat dan di Parlimen saya terpaksa terangkan sebab LTdL tidak dibuat di Langkawi kerana kos pada tahun lepas, tetapi tahun ini kami berjaya mengembalikan penganjuran di sana.
"Kami sudah cuba lakukan yang terbaik pergi ke kawasan yang kami rasakan menarik untuk pelancongan dan pelumba. Tetapi dari segi dana daripada negeri, kami harap mereka juga dapat menyumbang," katanya dalam sidang akhbar ketika peringkat kelapan LTdL 2024 di Bintulu pada Ahad.
Sebanyak RM8.1 juta telah diterima daripada penaja untuk penganjuran LTdL tahun ini seperti Petronas, Tourism Malaysia, Bubbles O2, Bintulu Port dan Motoshoot manakala kementerian dan MSN membelanjakan sekitar RM12 juta.
Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran LTdL yang berlangsung dengan jayanya membabitkan perlumbaan sejauh 1,190 kilometer (km).
"Bagi pihak KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN), kami gembira kerana segalanya yang dirancang berjalan dengn lancar.
"Kali ini kita mempunyai 22 pasukan dan tiga dari mereka adalah pasukan world team dan kali ini perlumbaan dari semenanjung sehingga Sarawak.
"Daripada pihak KBS, kami nak ucapkan terima kasih kepada penaja dan agensi kerajaan membantu menjayakan LTdL.
"Khasnya pasukan keselamatan, kesihatan dan kerjaan negeri yang memberikan kerjasama," katanya.
Perlumbaan LTdL 2024 meliputi lapan peringkat bermula di Langkawi diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!