[VIDEO] DAP tidak pernah mengemis jawatan di Johor - Anthony Loke

A
A
A

JOHOR BAHRU - DAP tidak pernah sesekali mengemis jawatan di peringat negeri walaupun kini bergelar pengimbang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebarang cadangan atau perbincangan mengenai penubuhan kerajaan Perpaduan di Johor tidak pernah disuarakan DAP.

"DAP tak pernah dan tidak akan mengemis jawatan kerajaan negeri. Sekiranya hendak jawatan kerajaan, kita lawan pada pilihan raya dan menang.

"DAP menjunjung titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan tiada pembangkang di Johor sebaliknya hanya ada wakil pengimbang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di Taman Ekoflora di sini, pada Ahad.

Anthony (tengah) merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di Taman Ekoflora pada Ahad.
Anthony (tengah) merasmikan Konvensyen Biasa DAP Johor, di Taman Ekoflora pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.

Anthony berharap polemik kononnya Pakatan Harapan (PH) Johor mahu Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, supaya dihentikan kerana kerajaan negeri Johor ditubuhkan lebih awal berbanding Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Hakikatnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022, Barisan Nasional (BN) menang 40 kerusi dan tubuhkan kerajaan dengan selesa. PH yang pada ketika itu 'lawan' BN, hanya menang 12 kerusi termasuk Muda satu kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) pula menang tiga kerusi.

"Itu hakikatnya yang perlu kita (PH) terima. Itu sebabnya saya berharap polemik baru-baru ini mengenai Kerajaan Perpaduan di Johor tidak perlu ditimbulkan dan dihentikan," katanya.

Dalam pada itu, Anthony meminta Ahli Parlimen dan ADUN DAP di Johor terus berkhidmat kepada rakyat untuk memastikan mendapat sokongan dan kekal di setiap kerusi yang dimiliki.

"DAP ketika ini, selesa memainkan peranan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pengimbang di negeri itu.

"Nasihat saya pada ahli DAP supaya bersabar dan mainkan peranan kita sebagai ADUN dan ahli Parlimen. Kita teruskan berkhidmat, pastikan kita kuat dan menang sokongan rakyat supaya dapat kekal setiap kerusi kita," katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk Amanah terus mendesak supaya Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor susulan kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, bulan lalu.

Mengulas bentuk kerjasama antara PH dan BN di Johor pada pilihan raya akan datang, Anthony berkata, perkara tersebut dibincangkan apabila waktunya pilihan raya akan berlangsung.

"Kita akan bincang apabila sampai masanya nanti di peringkat Persekutuan termasuk apa model kerjasamanya, pembahagian kerusi dan sebagainya, sama ada kita bekerjasama atau sebaliknya itu akan diputuskan kemudian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!