Polis tahan tiga individu, rampas dadah bernilai RM1.4 juta

Raub (tengah) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas.
Raub (tengah) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai lebih RM1.4 juta dengan tertangkapnya tiga individu dalam empat serbuan berasingan di bandar raya ini 28 September lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kesemua suspek warga tempatan yang berusia 26 hingga 35 tahun itu ditahan bersama sejumlah rampasan dadah dalam operasi yang dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dari pukul 6.30 pagi hingga 4 petang, pada tarikh berkenaan.

“Hasil ujian air kencing mendapati dua lelaki tempatan itu positif dadah jenis amphetamine manakala seorang suspek lelaki dan wanita mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Polis percaya ketiga-tiga suspek yang ditahan merupakan dalang dan juga pengedar dadah bagi tujuan pasaran di sekitar Johor Bahru.

"Dalam serbuan tersebut, lebih 8.8 kilogram pelbagai jenis dadah telah dirampas dan kesemua dadah yang dirampas itu berjumlah lebih RM1.4 juta dan boleh digunakan seramai 9,560 penagih," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini, pada Ahad.

Untuk rekod, rampasan dadah itu melibatkan 8,621.40 gram serbuk ekstasi bernilai RM1,439,773; 164,00 gram ketamin (RM32,800), 15.80 gram pil eramin 5 (RM1,580) dan 5 gram syabu (RM550).

Tambah Raub, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah RM385 dua utas gelang tangan, seutas rantai leher dan sepasang subang selain alat penimbang digital, alat pengisar dan satu anak kunci rumah.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan adalah RM1.448 juta dan sindiket dadah itu dipercayai telah bergiat aktif sejak Ogos lalu dengan mengisi dadah dalam peket minuman segera dan dijual dengan harga antara RM200 hingga RM300 sepeket.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek direman 13 hari sehingga 11 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kita juga sedang mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih aktif," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!