Geng Meot curi kereta untuk kelangsungan hidup

Raub menunjukkan Allen Key yang diubah suai untuk digunakan ketika mencuri kenderaan.
Raub menunjukkan Allen Key yang diubah suai untuk digunakan ketika mencuri kenderaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan Geng Meot yang aktif mencuri kenderaan khususnya kereta lama di sekitar bandar raya ini apabila menahan tiga lelaki dalam lima serbuan di daerah ini dan Kota Tinggi, September lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan berhubung kegiatan Geng Meot daripada seorang warga emas pada Isnin lalu yang mendakwa keretanya yang diparkir di sebuah hotel di Mount Austin, Ahad lalu, hilang dipercayai dicuri.

“Bertindak atas maklumat pada 12.30 tengah malam Isnin sehingga 5.30 pagi Selasa, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakukan serbuan di lima lokasi berasingan melibatkan kawasan Taman Johor Jaya dan empat lagi di kawasan Kota Tinggi.

"Dalam serbuan tersebut, pihak polis turut berjaya menahan tiga lelaki terbabit bersama sejumlah rampasan dadah dan apabila diperiksa kesemuanya didapati memiliki rekod jenayah lampau.

“Turut dirampas adalah sebuah kenderaan Nissan Cefiro dan sebuah kereta jenis Toyota Corolla. Hasil semakan mendapati lima kenderaan itu pernah dilaporkan hilang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Johor Bahru Selatan di sini pada Ahad.

Untuk rekod, dalam serbuan pertama polis menahan seorang lelaki tempatan, berusia 44 tahun, bersama-sama sebuah kereta jenis Kancil warna putih dan sebatang kunci bertulisan Perodua.

Selain itu, pada serbuan kedua dan seterusnya, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 41 tahun selain merampas dua kereta jenis Honda Accord serta satu rangkai kunci kereta dan satu Allen Key yang diubah suai.

Hasil saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati semuanya positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah dengan memberikan memberi tumpuan kepada kenderaan lama di sekitar bandar raya Johor Bahru.

“Kemudian suspek akan menghidupkan enjin kenderaan tersebut dengan menggunakan Allen Key yang diubah suai menjadi tajam,” katanya.

Raub berkata, ketiga-tiga suspek juga mengaku melakukan kegiatan mencuri kenderaan adalah bagi kegunaan sendiri serta menampung kenaikan kos sara hidup hari ini.

"Dengan tertangkapnya lima suspek tersebut, polis percaya ia telah berjaya menyelesaikan lima kes curi kenderaan yang dilaporkan sekitar Johor Bahru.

“Ketiga-tiga suspek direman empat hari bermula 30 September dan disambung lagi sehari untuk melengkapkan kertas siasatan.

“Mereka juga ditangkap berkait laporan polis melibatkan kesalahan curi kereta lain pada kelmarin dan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok (Isnin),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!