'Abang Cookies' azam terbang tinggi dalam bidang Aeroangkasa
SHAH ALAM - Membesar dalam keluarga yang berlatarbelakangkan dunia perniagaan tidak menjadi halangan buat seorang penuntut baharu dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Asnoramirul Daniel Awang Saripuddin atau 'Abang Cookies' untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Aeroangkasa.
Asnoramirul Daniel berkata, dia yang juga usahawan muda penjual biskut mengakui pernah bercita-cita untuk membuka perniagaan sendiri pada masa hadapan atas dasar minat dan ingin meneruskan legasi keluarga.
Menurut pemuda berusia 23 tahun itu, dalam masa sama dia sudah membuat persiapan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan yang bukan sahaja membuka peluang pekerjaan lebih baik, malah alternatif untuk menimba ilmu baharu.
“Meskipun minat saya dalam dunia perniagaan, tetapi mencuba ilmu baharu bukanlah satu kesalahan kerana dengan ilmu yang ada akan membentuk nilai serta kualiti dalam diri.
“Persaingan dalam alam pekerjaan juga menjadi dorongan saya melanjutkan pengajian di peringkat Bacelor Kejuruteraan Aeroangkasa dengan Kepujian,“ katanya ketika sesi pendaftaran kemasukan pelajar baharu sesi 2024/2025 UPM, pada Ahad.
Pelajar dari Sabah itu memaklumkan, dia memasang niat untuk memasuki Turkish Aerospace sebaik tamat pengajian sambil mengembangkan perniagaan biskut.
“Sukar untuk saya pilih satu daripadanya kerana amat meminati kedua-dua bidang tersebut, tetapi tiada yang mustahil kerana yakin saya mampu.
“Tambahan pula, kedua orang tua saya sentiasa memberikan dorongan, sokongan dan nasihat untuk melanjutkan pengajian.
“Titipan sebelum berangkat menaiki pesawat adalah jangan tinggal solat. Itu antara pesanan yang saya sematkan dalam hati sebagai anak perantauan,” ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!