Perang lebih besar pada 7 Oktober?
TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dijangka memperluaskan lagi kempen pencerobohan di beberapa barisan hadapan sempena ulang tahun pertama perang genosid ke atas Genting Gaza pada hari ini.
Operasi ketenteraan berskala besar itu termasuk rancangan serangan balas lebih ganas ke atas Iran yang membedil hampir 200 peluru berpandu balistik hingga menggegar Tel Aviv pada minggu lalu.
"IDF sedang membuat persediaan untuk membalas serangan mengejut Teheran," kata seorang pegawai IDF yang enggan memberikan butiran lanjut tentang operasi sulit tersebut.
Pada Sabtu, Iran memberi amaran tegas terhadap sebarang respons Zionis bakal berdepan tindak balas lebih agresif, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.
"Respons kami adalah jelas. Usah cuba menjolok sarang tebuan atau cuba menguji keazaman kami," tegas Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi yang sekali lagi menggesa pelaksanaan gencatan senjata di Gaza dan Lubnan.
Menurutnya, isu penting yang perlu mencapai penyelesaian adalah tempoh bertenang di kedua-dua lokasi tersebut yang menjadi medan tempur sengit ketika ini.
Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati menggesa komuniti antarabangsa terus memberi tekanan kepada Israel setelah beliau menyokong penuh usaha Amerika Syarikat (AS) dan Perancis untuk melaksanakan gencatan senjata di Beirut.
Terdahulu, Presiden Israel, Isaac Herzog menyifatkan Teheran sebagai 'ancaman berterusan' kepada Tel Aviv.
"Kita masih hidup dalam situasi seperti selepas Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan Hamas pada 7 Oktober 2023. Iran bersama proksi mereka kekal mengancam keselamatan kita," katanya menerusi kenyataan provokasi sempena memperingati Perang Gaza. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!