GISBH: Awan Kelantan desak pesalah dihukum setimpal

Hafidzah (berdiri, empat dari kanan) bersama pasukan bola sepak wanita Kelantan FA.
Hafidzah (berdiri, empat dari kanan) bersama pasukan bola sepak wanita Kelantan FA.
A
A
A

KOTA BHARU - Angkatan Wanita Amanah (Awan) Kelantan mendesak mereka yang bersalah dan terlibat mengeksploitasi wanita serta kanak-kanak membabitkan kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dikenakan hukuman setimpal.

Ketua Awan Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim berkata, pembongkaran yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dan agensi agama menunjukkan ada di antara mereka yang menjadi mangsa keganasan seksual dan penganiayaan.

Menurut beliau, daripada pengalamannya sebagai pegawai perubatan, kanak-kanak dan wanita yang menjadi mangsa penderaan mengambil masa untuk sembuh bergantung pada kondisi mental mereka.

"Saya menjangkakan pemulihan memerlukan pendekatan holistik dan penuh kasih sayang bagi memastikan mereka kembali ke pangkal jalan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Dr Hafidzah Bersama Pasukan Bola Sepak Wanita Kelantan FA di sini pada Ahad.

Hafidzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama memberitahu, penganiayaan eksploitasi dan keganasan yang dilakukan akan memberi kesan trauma serius terhadap mangsa.

"Mereka memerlukan perhatian dan kerjasama semua agensi untuk memastikan emosi dan mental kembali normal.

"Kita juga dimaklumkan ada di antara mangsa kanak-kanak diabaikan, dipisahkan daripada ibu bapa sejak kecil dan dibesarkan tanpa kasih sayang keluarga selain tidak mendapat pendidikan sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Hafidzah menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pasukan bola sepak wanita Kelantan FA.

Beliau berbangga kerana pasukan berkenaan menunjukkan kesungguhan untuk maju dan membuktikan Kelantan juga mampu menubuhkan pasukan berkenaan.

Jelas beliau, penubuhan pasukan bola sepak wanita itu turut mendapat sokongan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!