'Tiada tolak ansur, tangkapan telah dibuat' - Pemangku Sultan Johor
JOHOR BAHRU – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan negeri ini tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti yang tular melibatkan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Desaru Kota Tinggi.
Titah baginda tindakan sudah diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Action has been taken and the culprits have been arrested. Zero tolerance in Johor,” tulis baginda dalam aplikasi X HRH Crown Prince of Johor, pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam satu program larian di Kota Tinggi.
Dalam foto dan video tersebut memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian mencolok mata.
Menerusi foto tersebut, terdapat peserta yang mengenakan pakaian seperti penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Polis seterusnya menahan tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.
Dua lelaki warga asing dan seorang lagi warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun itu diberkas di sebuah hotel kira-kira jam 10 malam Sabtu, bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!