8,500 premis diberi amaran langgar Akta 852
KUALA SELANGOR - Sebanyak 8,500 premis di seluruh negara diberi amaran berikutan melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kesalahan itu dikesan menerusi 283 operasi khas dengan membabitkan seramai 4,481 penguat kuasa dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam operasi selama lima hari yang berakhir pada Sabtu.
Bagaimanapun, katanya, tiada kompaun dikenakan terhadap premis, sebaliknya kementeriannya lebih memberi penekanan tentang soal kesedaran dan program berbentuk pendidikan.
"Kita tidak mengambil tindakan penguatkuasaan seperti kompaun dan sebagainya, sebaliknya hanya memberi amaran berbentuk literasi, pencerahan dan penjelasan terlebih dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan Premis Bersih, Bebas Asap Negeri Selangor di Grandeur Labs, Puncak Alam di sini pada Ahad.
Dzulkefly menegaskan, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya mereka masih ingkar melakukan kesalahan sama berkuat kuasa pada 1 April tahun depan.
Menurut Dzulkefly, operasi itu juga turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 12 perokok di seluruh negara atas kesalahan merokok di tempat larangan.
"Bagi kesalahan merokok, kita mengambil tindakan tegas mengikut peraturan sedia ada," jelas beliau.
Mulai 1 Oktober 2024, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mula dikuatkuasakan.
Menerusi akta itu, terdapat beberapa peruntukan berkaitan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja yang bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.
Selain itu, akta ini juga melibatkan peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!