Dua gajah mati lemas akibat banjir kilat

Beberapa ekor gajah mengharungi banjir selepas pusat perlindungan gajah tenggelam. - Foto AFP
Beberapa ekor gajah mengharungi banjir selepas pusat perlindungan gajah tenggelam. - Foto AFP
A
A
A

BANGKOK - Dua ekor gajah mati lemas ketika banjir kilat di lokasi tumpuan pelancong di Thailand.

Pihak berkuasa memaklumkan lebih 100 mamalia dari taman perlindungan haiwan itu di wilayah Chiang Mai dipindahkan ke kawasan lebih tinggi berikutan kenaikan mendadak paras air.

"Malangnya, dua ekor gajah buta digelar Fahsai berusia 16 tahun dan Ploython yang berusia 40 tahun menjadi korban banjir deras itu," kata jurucakap taman perlindungan itu dikenali sebagai Dada.

Sementara itu, Pengarah Taman Perlindungan Gajah di utara Bangkok, Saengduean Chailert berkata, ia seperti mimpi ngeri apabila melihat gajah peliharaan mereka terapung dibawa banjir.

"Kejadian ini tidak akan berulang lagi," katanya yang berjanji akan membuat persediaan lebih awal apabila ketibaan musim monsun pada tahun depan.

Di pusat bandar Chiang Mai, orang ramai dilihat meredah banjir lumpur pada paras lutut selepas kawasan itu antara terjejas teruk.

Kumpulan pelancong turut terpaksa dipindahkan dari hotel penginapan mereka.

Keadaan menjadi lebih buruk di utara Thailand susulan hujan lebat berterusan telah menyebabkan Sungai Ping mencapai tahap kritikal.

Artikel Berkaitan:

Wilayah utara negara itu terus dilanda banjir dahsyat sejak amukan Taufan Yagi membadai rantau Asia Tenggara pada awal September lalu.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana memaklumkan sebanyak 20 wilayah kini tenggelam. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!