'Ya, ini adalah wanita itu' - Duta Palestin

Duta Palestin sahkan wanita yang muncul dalam video permohonan maaf merupakan salah seorang daripada dua wanita Palestin yang terlibat dalam pertengkaran dengan pegawai keselamatan di Wisma Transit, Kuala Lumpur.
Duta Palestin sahkan wanita yang muncul dalam video permohonan maaf merupakan salah seorang daripada dua wanita Palestin yang terlibat dalam pertengkaran dengan pegawai keselamatan di Wisma Transit, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mengesahkan bahawa wanita yang muncul dalam video permohonan maaf yang tular baru-baru ini merupakan salah seorang daripada dua wanita Palestin yang terlibat dalam pertengkaran dengan pegawai keselamatan di Wisma Transit, Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada Bernama pada Ahad, beliau berkata: "Ya, ini adalah wanita itu."

"Di dalam video ini, dia menyedari kesilapannya dan telah memohon maaf kepada pegawai berkenaan serta kepada Malaysia. Dia mengakui bahawa dia berada dalam keadaan emosi yang tidak stabil pada hari insiden itu berlaku," katanya.

Pada 4 Oktober, Bernama melaporkan bahawa insiden yang tular pada minggu ini telah diselesaikan dan Kedutaan Palestin di sini telah mengambil langkah bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

Pertengkaran berlaku disebabkan rasa kecewa wanita itu kerana tidak dibenarkan meninggalkan pusat berkenaan secara bebas atas faktor keselamatan.

"Saya mengutuk apa yang berlaku, dan ia tidak seharusnya berlaku lagi," kata Walid, sambil mengulangi kekesalannya terhadap kejadian itu.

Beliau turut menyampaikan permohonan maaf kepada semua rakyat Malaysia, dengan menyatakan bahawa tingkah laku yang ditunjukkan dalam insiden itu tidak mencerminkan perlakuan rakyat Palestin secara umum.

"Kami tidak ingin memanjangkan isu ini. Bagi pihak Palestin, saya sekali lagi memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!