'Penangguhan aksi Perak-JDT ikut Manual Liga-M 2024/25' - MFL

Laporan Sinar Harian pada Ahad
Laporan Sinar Harian pada Ahad
A
A
A

PENANGGUHAN perlawanan Liga Super, Perak FC menentang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Oktober dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Giorgio Pompili Rossi, penangguhan aksi yang dijadual jam 8.15 malam itu dibuat berdasarkan laporan awal komisioner perlawanan mengikut Peraturan 2.8.1 Perlawanan Yang Dihentikan berikutan hujan lebat hingga mengakibatkan padang tidak sesuai untuk digunakan perlawanan.

Rossi (kiri), Penangguhan perlawanan Liga Super, Perak FC menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Oktober dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.
Rossi (kiri), Penangguhan perlawanan Liga Super, Perak FC menentang JDT di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Oktober dibuat berdasarkan Manual Liga Malaysia (Liga-M) 2024/25.

Jelas Rossi, komisioner perlawanan telah mengikut proses yang ditetapkan di mana perlawanan tidak boleh dimulakan lagi dan kedua-dua kelab hendaklah menunggu perlawanan untuk dimainkan semula dalam masa maksimum 60 minit (30 minit pertama dan 30 minit kedua) dengan persetujuan kedua-dua kelab.

“Selepas selesai tempoh menunggu itu, keadaan padang masih tidak boleh digunakan maka komisioner perlawanan telah memaklumkan kepada kedua-dua kelab mengenai keputusan untuk menangguhkan perlawanan itu.

“Justeru dakwaan Perak FC adalah tidak benar kerana pasukan tuan rumah mengetahui mengenai keadaan semasa padang itu kerana mereka telah dimaklumkan komisioner perlawanan untuk menunggu dalam tempoh 30 minit seperti yang ditetapkan dalam peraturan pertandingan,” ujarnya.

Tambah Rossi, biarpun pemeriksaan padang dilakukan pada jam 6 petang, itu tidak bermakna padang dalam keadaan yang boleh digunakan kerana keputusan untuk meneruskan atau menangguhkan perlawanan dibuat dengan menilai keadaan padang berdasarkan keadaan terkini sebelum sepak mula yang jelas terjejas teruk akibat hujan lebat.

Artikel Berkaitan:

“Jelas di sini bahawa kenyataan Perak FC mengenai mereka tidak diberi ruang dan peluang untuk berbincang sepanjang proses membuat keputusan semalam adalah bercanggah, menyimpang dan tidak menggambarkan keadaan sebenar pada ketika itu,” ujarnya lagi.

Sementara itu, MFL menyambut baik usaha Perak FC untuk menaik taraf Stadium Perak, Ipoh menerusi geran yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Jelas apa yang dialami oleh kedua-dua pasukan semalam membuktikan bahawa stadium itu perlu dibaikpulih khususnya bahagian padang dan diharap kelab-kelab lain juga akan berbuat demikian secepat mungkin.

“MFL sentiasa menghargai sokongan penyokong-penyokong yang menjadi tulang belakang kepada Liga Malaysia dan kami sememangnya memahami kekecewaan mereka apabila perlawanan semalam terpaksa ditunda ke satu tarikh lain.

“Namun, keputusan yang telah dibuat semalam telah mengambil kira pelbagai aspek sebelum MFL memutuskan perlawanan tersebut harus ditunda disebabkan keadaan padang yang tidak mengizinkan,” ujar Rossi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!